Mesyuarat pertama Jawatankuasa Harmoni diadakan bulan depan

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

PUTRAJAYA - Mesyuarat pertama Jawatankuasa Keharmornian Antara Penganut Agama (Harmoni) yang diaktifkan semula akan diadakan bulan depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, mesyuarat jawatankuasa itu, yang berperanan sebagai medium perbincangan antara pemimpin agama bagi menyelesaikan persoalan berkaitan agama serta kaum, akan dipengerusikan beliau bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

"Sebelum ini, saya sudah suarakan hasrat kepada Menteri Perpaduan Negara (Aaron) untuk aktifkan semula Jawatankuasa Harmoni kerana jawatankuasa ini memainkan peranan penting untuk anjur pelbagai program bagi tujuan kukuhkan perpaduan antara kaum.

"Menteri (Aaron) terima cadangan dengan baik. Ini adalah cerminan semangat kebersamaan antara kami,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Majlis sambutan bertemakan "Perpaduan Teras Malaysia Madani” itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohd Na’im berkata, pengaktifan semula jawatankuasa yang ditubuhkan pada 14 Ogos 2020 itu membolehkan pihaknya memperkasakan pendekatan Islam wasati (pertengahan) bagi menjelaskan kepada golongan bukan Islam bahawa agama Islam merupakan agama rahmah.

"Pendekatan wasati digunakan kerana ia tidak terlalu ekstrem, konservatif dan jumud, malah tidak terlampau longgar serta lari daripada disiplin ilmu Islam yang sahih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dalam masa terdekat untuk menjelaskan kepada beliau tentang disiplin berkaitan tafsiran petikan ayat suci al-Quran.

"Ini pendekatan harmoni. Insya-ALLAH kalau ada libat urus seumpama ini dengan golongan bukan beragama Islam, mereka dapat terima Islam sebagai agama rahmah,” katanya.

Pada Selasa lepas, Howard Lee memohon maaf secara terbuka atas tindakan beliau memetik ayat al-Quran dalam satu video menerusi laman media sosialnya baru-baru ini. - Bernama