Howard Lee mohon maaf tindakan tafsir ayat al-Quran

Howard Lee (duduk, tengah) tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakannya memetik tafsiran ayat suci al-Quran dalam video di TikTok.
Howard Lee (duduk, tengah) tampil membuat permohonan maaf berhubung tindakannya memetik tafsiran ayat suci al-Quran dalam video di TikTok.
A
A
A

IPOH - Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak susulan tindakannya memetik tafsiran ayat al-Quran, baru-baru ini.

Beliau berkata, permohonan maaf itu diharapkan dapat menghentikan polemik yang telah mencetuskan ketegangan dan ancaman yang diterima ekoran penularan video berkenaan di media sosial.

Menurut Howard, pihaknya telah mendapatkan pandangan daripada pihak alim dalam memetik ayat 59 surah an-Nisa itu.

"Tuduhan bahawa saya mentafsir, saya tidak tafsir saya hanya memetik menggunakan ayat itu dan itu pun atas cadangan pihak alim.

"Segala yang saya ulaskan bukan sahaja berkaitan agama Islam tetapi mana-mana topik yang bukan kepakaran bukanlah saya buat kajian sendiri sebaliknya saya bertalaqi dan bermuzakarah dengan beberapa orang ustaz, baru saya berani membina satu pandangan apatah lagi untuk menyuarakan, mengulas dan merakam dalam bentuk video.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf atas segala kesulitan yang telah wujud dan memohon maaf bagi semua pihak termasuk rakan-rakan daripada Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang telah memetik ayat-ayat suci al-Quran dalam konteks politik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi di Jalan Pasir Puteh di sini pada Selasa.

Permohonan maaf itu dibuat Howard Lee selepas beliau selesai memberi keterangan berkaitan isu itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar jam 2 petang.

Artikel Berkaitan:

Howard Lee turut menghargai nasihat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak lagi mengulangi perbuatan itu dalam memberikan pandangan berhubung hal berkaitan politik.

"Permohonan maaf ini bukanlah saranan daripada kepimpinan kerana ramai kepimpinan Pakatan Harapan (PH) telah menyuarakan pandangan mereka dan telah menunjukkan tindakan solidariti dengan kenyataan mereka.

"Ada cadangan seperti yang dikeluarkan Asyraf Wajdi yang meminta saya untuk jangan mengulangi kesilapan tersebut demi mengelak fitnah kepada saya dan agama.

"Kesilapan ini tidak semestinya apa yang saya cakap itu salah tetapi tindakan ini membawa sedikit kegusaran kepada semua pihak," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP turut menyuarakan rasa sangsi dengan tindakan Pas dan Gerakan yang menyerangnya dalam itu tersebut.

"Mengapa dahulu sewaktu DAP pernah berada dalam satu wadah dengan parti Pas, boleh dan digalakkan untuk belajar serta mendalami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran tapi sekarang pula tidak boleh.

"Saya juga sangsi mengapa anggota DHPP boleh sahaja baca dan lafaz bahasa Arab ayat al-Quran tetapi saya tafsir pula diserang bertubi-tubi.

"Tidak mengapa saya sudah memohon maaf kepada semua pihak dan diri sendiri," katanya.

Sebelum ini, Howard Lee dalam video di TikTok menafsirkan potongan ayat surah an-Nisa untuk menggesa umat Islam menyokong Kerajaan Perpaduan.