Dewan Ulamak Pas gesa Howard Lee mohon maaf

Ahmad Yahaya
Ahmad Yahaya
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mendesak Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How memohon maaf atas tindakan tidak bertanggungjawab ekoran mengeluarkan pandangan menyeleweng serta tidak tepat terhadap tafsiran ayat suci al-Quran.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya menegaskan, tidak harus bagi seseorang memberikan tafsiran secara longgar dan semberono terhadap ayat al-Quran walaupun secara asasnya tidak menjadi kesalahan kepada golongan bukan Islam untuk menghayati ayat suci itu.

"Malangnya Howard bukan sahaja tidak bertanggungjawab terhadap kenyataannya, tetapi sehingga kini beliau masih tidak meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Apakah kenyataan sedemikian masih tidak tergolong di bawah kesalahan 3R (agama, institusi diraja dan kaum)?

"DUPP juga tertanya-tanya apakah di sana tidak ada dalam kalangan agamawan Pakatan Harapan (PH) yang bersedia memberi teguran terhadap Howard. Apakah prinsip sebenar PH terhadap isu-isu seperti ini sehingga membiarkan perkara teras masih tidak diselesaikan secara tuntas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Ahmad turut menegaskan, tindakan Howard boleh dianggap melakukan penghinaan terhadap ajaran agama Islam.

Beliau mendakwa, situasi tersebut jelas menunjukkan golongan DAP menguasai PH sehingga kaki dan tangan pihak lain ibarat diikat rapi meskipun menyentuh secara langsung berkaitan agama Islam

"Adakah Tuan Guru Haji Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) yang mengajar tafsir sejak sekian lama mereka anggap sebagai 'menunggang agama' (manakala) Howard Lee menafsir ayat al-Quran sesuka hati pula dianggap sebagai 'pejuang agama'.

"DUPP ingin sekali lagi menyatakan ketegasan supaya Howard memohon maaf di atas keceluparan beliau tempoh hari," katanya.

Artikel Berkaitan: