Rugi lebih RM30 juta akibat jenayah siber di Melaka - Exco

Kerugian akibat jenayah siber di Melaka pada tahun lepas pula adalah RM26.98 juta membabitkan 1,109 kes. - Foto123RF
Kerugian akibat jenayah siber di Melaka pada tahun lepas pula adalah RM26.98 juta membabitkan 1,109 kes. - Foto123RF
A
A
A

MELAKA - Kira-kira RM30.5 juta kerugian akibat jenayah siber dilaporkan di Melaka dalam tempoh Januari hingga semalam melibatkan 1,359 kes pelbagai penipuan dalam talian.

Exco Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah itu berdasarkan laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, kerugian akibat jenayah siber di Melaka pada tahun lepas pula adalah RM26.98 juta membabitkan 1,109 kes.

"Trend jenayah komersial atau siber ini membabitkan penipuan seperti Macau scam, love scam, tipu belian dalam talian, pinjaman tidak wujud, tipu pelaburan, tipu menyamar kenalan dan tipu tawaran kerja.

"Peningkatan bilangan kerugian ini dilihat amat membimbangkan dan menunjukkan insiden siber sebagai suatu isu kritikal yang perlu diberi perhatian serius dan ditangani secara tuntas bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Hari Keselamatan Siber negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) negeri, Fauzi Elham@Alhim dan Pengurus Besar TM, Melaka Rozlan Mohamed.

Fairul Nizam berkata, kerajaan negeri komited untuk memperluas program kesedaran kepada masyarakat pelbagai latar belakang dalam memberi pendedahan maklumat mengenai jenayah siber supaya lebih ramai yang peka dan tidak terjebak daripada menjadi mangsa penipuan.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi menjamin keberkesanan ke atas kawalan insiden siber dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani ancaman keselamatan siber.

Artikel Berkaitan:

"Jika insiden pencerobohan yang berlaku ke atas portal dan laman web kerajaan negeri akan mencemarkan imej selain mengganggu operasi sesuatu jabatan.

"Justeru kita melantik ketua pegawai digital dan pegawai keselamatan ICT bagi setiap jabatan dan agensi negeri serta menubuhkan pasukan tindak balas insiden keselamatan komputer selain melaksana penilaian postur keselamatan bagi aset-aset ICT," katanya. - Bernama