Kes jenayah siber dijangka meningkat kerana AI

Polis menjangkakan peningkatan kes jenayah siber dalam tempoh terdekat susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). - Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli
Polis menjangkakan peningkatan kes jenayah siber dalam tempoh terdekat susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). - Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjangkakan peningkatan kes jenayah siber dalam tempoh terdekat susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pakar dan saintis AI kini sangat bimbang mengenai perkembangan pesat dunia komunikasi moden yang boleh digunakan untuk tujuan jenayah dengan mudah.

"Tahap kesedaran masyarakat dilihat masih berada pada tahap sangat rendah apabila ada dalam kalangan mereka yang mudah terpedaya dengan helah sindiket penipuan dalam talian.

"Ada mangsa walaupun sudah mengetahui mengenai aktiviti scammer ini melalui siaran media dan rakan atau keluarga, namun masih terjebak, malah mereka turut mendakwa dipukau melalui telefon," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ramli berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengingatkan masyarakat supaya cakna dan jangan sesekali mengesahkan butiran diri kepada individu yang diragui.

"Sebolehnya, jangan dilayan panggilan daripada individu yang tidak dikenali, kita akan melaksanakan kempen di semua peringkat di seluruh negara melalui pegawai JSJK di kontinjen dan daerah.

"Malah, pucuk kepimpinan tertinggi PDRM juga turut sama berkempen untuk meningkatkan kesedaran orang ramai," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi talian 997 untuk memaklumkan berkaitan aktiviti penipuan yang berlaku dalam tempoh 24 jam.

Artikel Berkaitan:

"Jika dilaporkan segera, kita mampu untuk menghalang wang itu dipindahkan ke akaun lain," katanya.

Pada 11 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen berkata hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan bagi tempoh 2021 hingga Julai tahun ini.

Sehubungan itu, kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber, katanya.