Pensyarah rugi lebih setengah juta diperdaya scammer

Mangsa diarahkan untuk membuat pindahan wang bagi tujuan semakan sama ada dia terlibat dalam sindiket itu atau sebaliknya. - Gambar hiasan
Mangsa diarahkan untuk membuat pindahan wang bagi tujuan semakan sama ada dia terlibat dalam sindiket itu atau sebaliknya. - Gambar hiasan
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seorang pensyarah mengalami kerugian RM537,659.89 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, mangsa berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon suspek yang menyamar daripada syarikat penghantaran.

"Suspek mendakwa mangsa mempunyai dua bungkusan yang mengandungi lima kad pengenalan, lima pasport dan lima kad mesin juruwang automatik (ATM) milik individu lain.

"Talian itu kemudiannya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Bukit Aman. Suspek yang menyamar polis mendakwa mangsa terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram dan perdagangan manusia" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, suspek mendakwa notis waran tangkap juga telah dikeluarkan terhadap mangsa.

"Mangsa diarahkan untuk membuat pindahan wang bagi tujuan semakan sama ada dia terlibat dalam sindiket itu atau tidak.

"Sepanjang tempoh bermula 3 Ogos hingga Sabtu lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 25 transaksi pindahan wang ke 16 akaun berlainan.

"Mangsa mengetahui dirinya diperdaya setelah ditegur suaminya atas perubahan sikap yang kerap memegang telefon serta sering meminjam wang untuk membuat bayaran kepada individu tidak diketahui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hasni berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama 10 tahun dan sebatan.