929 pekebun, penternak di Johor rugi RM17 juta akibat banjir

Zahari
Zahari
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seramai 929 peladang dan penternak di Johor dilaporkan terjejas akibat bencana banjir pada Mac lepas dengan anggaran kerugian lebih RM17 juta.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, data itu diperoleh daripada Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Katanya, daerah Segamat dan Tangkak antara yang merekodkan jumlah kerugian tertinggi membabitkan petani dan pengusaha agromakanan.

"Kerugian sebanyak RM2.3 juta membabitkan seramai 108 petani dicatatkan Jabatan Pertanian bagi daerah Segamat. Ia seterusnya diikuti daerah Tangkak sebanyak RM2.15 juta membabitkan seramai 206 petani.

"Jabatan Pertanian Johor sahaja telah menerima sebanyak 704 permohonan bencana melibatkan tanaman padi, sayur, buah-buahan, lebah madu, cendawan serta industri asas tani (IAT) dengan anggaran kerugian RM10.3 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini, pada Khamis.

Zahari sebelum itu menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) berhubung kerugian dialami golongan berkenaan ekoran banjir besar Mac lalu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 431 pengusaha sektor pertanian dan satu komuniti perikanan di Johor yang terkesan banjir telah menerima bantuan dengan nilai peruntukan sebanyak RM2.5 juta, tahun lalu.

"Bantuan itu bukanlah untuk menampung kerugian projek pertanian, sebaliknya satu usaha membantu pengusaha untuk terus melaksanakan semula projek-projek pertanian yang telah terjejas," jelasnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kerugian dialami merangkumi pengusaha subsektor tanaman agromakanan, subsektor penternakan, subsektor perikanan serta subsektor industri asas tani.

"Permohonan bagi peruntukan itu telah dimajukan jabatan atau agensi berkenaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

"Permohonan bantuan itu kini di peringkat kelulusan menerusi peruntukan di bawah Tabung Bencana iaitu Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) kementerian," katanya.