Dadah RM1.6 juta dirampas, suami isteri antara 17 ditahan

Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas semasa sidang akhbar di IPK Johor pada Ahad.
Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas semasa sidang akhbar di IPK Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri antara 17 individu yang ditahan disyaki terlibat sindiket dadah dalam lima serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada selama dua hari bermula Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan diadakan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.6 juta dirampas.

"Hasil serbuan itu seramai 12 lelaki, tiga wanita tempatan dan dua wanita warga asing berumur lingkungan 17 hingga 55 tahun ditahan.

"Polis turut merampas 45 botol atau 14.85 liter cecair ekstasi, 21.66 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 599 gram ketamine dan pelbagai dadah lain bernilai RM1.6 juta.

"Nilai rampasan keseluruhan RM2.6 juta termasuk sitaan tujuh kereta, barang kemas dan wang tunai ringgit serta wang asing," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Kamarul Zaman berkata, sindiket yang aktif sejak Julai tahun itu menyewa rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Sindiket memasarkan dadah-dadah yang dibungkus dalam pelbagai bungkusan ke kelab-kelab malam.

"Dadah yang dirampas operasi tersebut boleh digunakan seramai 124,925 orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 10 daripada suspek positif methamphetamine.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati sembilan daripada mereka mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek direman selama lima hari bermula Sabtu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya.