Cubaan warga Indonesia seludup dadah RM1.9 juta gagal

Ramli (dua dari kiri) menunjukkan dadah dirampas dalam sidang media di IPD Kuala Selangor pada Isnin.
Ramli (dua dari kiri) menunjukkan dadah dirampas dalam sidang media di IPD Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ribut kencang dan laut bergelora menjadi penghalang kepada seorang lelaki disyaki warga Indonesia menyeludup keluar dadah bernilai RM1.9 juta di sebuah jeti nelayan di Sungai Buloh, Jeram di sini pada Jumaat lalu.

Kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku ketika suspek berusia 21 tahun dipercayai sedang menunggu sebuah bot untuk mengambil syabu dan pil ecstasy tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, suspek yang sedang menunggu bot akhirnya dicekup sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narktorik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"Kegiatan lelaki itu disedari nelayan yang melihat suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di IPD Kuala Selangor pada Isnin.

Ramli berkata, sebaik polis tiba di lokasi kejadian, lelaki itu cuba bertindak agresif dan berlaku pergelutan, namun berjaya dicekup.

"Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga bungkusan plastik hitam di dalam semak kawasan tersebut.

"Pemeriksaan kemudian menemukan 56 bungkusan teh Cina berisi dadah disyaki jenis syabu seberat 58.9 kilogram (kg) dan sebuah beg ditemukan berisi 3,500 pil ecstasy di semak berkenaan," ujar beliau.

Jelas Ramli, siasatan mendapati suspek yang juga penganggur dikatakan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelancong pada 13 September lalu.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu dipercayai datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan dibayar upah RM5,000 untuk melakukan kerja haram berkenaan.

"Kita percaya dadah itu mahu diseludup ke Indonesia atau negara lain namun tidak berhasil kerana faktor cuaca dan maklumat penduduk setempat," tambahnya.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini dan saringan air kencingnya turut didapati positif syabu," jelas beliau.

Menurut Ramli, kes itu merupakan rampasan terbesar di daerah Kuala Selangor pada tahun ini dan sedang menyiasat penglibatan seorang lelaki tempatan yang dipercayai membekalkan dadah tersebut.

Tambah Ramli, kesemua dadah itu boleh digunakan oleh 120,000 penagih dan polis turut menyiasat kaitan dengan sindiket lain.

"Kita sedang berusaha mencari seorang lagi warga tempatan yang turut menjadi dalang dalam kes tersebut," katanya.