5 sekawan edar dadah bernilai RM1.57 juta diberkas

Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat di sini.
Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat di sini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Polis Perak berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Bandar raya Ipoh susulan penangkapan lima individu di Kampung Gunung Rapat di sini pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan awal dibuat sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh melibatkan tiga individu menaiki sebuah kereta di tepi Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat di sini.

Menurutnya, susulan dari serbuan itu, pihak polis menahan dua lagi individu yang dipercayai terlibat di dalam kes berkenaan di sebuah rumah di Kampung Rapat di sini pada hari yang sama.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta menemukan dadah dipercayai jenis ketamin anggaran berat 26.18 kg, cecair disyaki dadah ketamin anggaran berat 3.35 liter dan dadah methamphetamine anggaran berat 1.82 gram.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM1.57 juta," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Yusri berkata, kesemua suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia di antara 20 hingga 27 tahun.

Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati empat suspek positif dadah manakala seorang lagi negatif dadah.

Menurutnya, hasil semakan juga mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah lain.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam operasi itu juga pihak polis turut menyita sebuah kereta dan dua buah motosikal serta wang tunai bercampur-campur dengan nilai keseluruhan RM30,380.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal bulan September 2023. Dianggarkan jumlah dadah dirampas boleh digunakan seramai 52,352 orang untuk pasaran tempatan di Perak.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai 21 September bagi membantu siasatan," katanya.