Penduduk Seri Cheeding resah 'dihurung' lalat

Keadaan lalat memenuhi kawasan kedai runcit di Kampung Seri Cheeding pada Ahad.
Keadaan lalat memenuhi kawasan kedai runcit di Kampung Seri Cheeding pada Ahad.
A
A
A

BANTING - Penduduk Kampung Seri Cheeding di sini berdepan masalah serangan lalat sejak dua minggu lalu yang menimbulkan ketidakselesaan menjalankan aktiviti harian.

Seorang penduduk, Datuk Ramli Kadri, 60, berkata, makanan tidak boleh dibiarkan terdedah dan situasi bertambah parah apabila lalat juga dilihat memenuhi kedai runcit yang menjual barang basah selain kedai makan.

"Sebelum ini, memang ada lalat tapi dua minggu ini keadaannya semakin teruk. Hidang nasi atas meja, habis dikerumuni lalat... Geli.

"Buat masa ini terpaksa gunakan gam pelekat lalat, selain memastikan makanan sentiasa tutup. Saya tidak tahu punca lalat banyak ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Rosli, 51, mendakwa, isu lalat merupakan masalah bermusim yang dihadapi sekurang-kurangnya setahun sekali.

Katanya, masalah tersebut dikesan di kawasan Seri Cheeding selain Jenjarom serta Kuala Langat.

Gam pelekat dipasang bagi mengawal lalat yang memenuhi kawasan kedai dan runcit di Seri Cheeding sejak dua minggu lalu.
Gam pelekat dipasang bagi mengawal lalat yang memenuhi kawasan kedai dan runcit di Seri Cheeding sejak dua minggu lalu.

"Kebiasaan lalat ini banyak di kawasan kedai makan dan kedai runcit selain rumah di Seri Cheeding.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak pasti jika disebabkan aktiviti ladang ayam yang telah lama beroperasi kira-kira satu kilometer dari kampung," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap isu tersebut diatasi susulan penduduk berdepan masalah berulang yang dikhuatiri boleh menjadi punca bawaan penyakit.

"Risau alami keracunan makanan apabila makan di kedai kerana kita tak tahu makanan yang dijual itu ditutup atau terdedah.

"Begitu juga bahan mentah yang dibeli di kedai runcit di sekitar sini yang saya risau terdedah kepada lalat," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkenaan isu tersebut.

MPKL memaklumkan, pihaknya akan memberikan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut selepas siasatan berhubung aduan tersebut dilaksanakan.