'Terkejut mayat ditemui dekat dengan rumah' - Penduduk kampung

Norhaini menunjukkan lokasi penemuan mayat mangsa ketujuh
Norhaini menunjukkan lokasi penemuan mayat mangsa ketujuh
A
A
A

KEMAMAN - "Saya terkejut apabila mengetahui mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih ditemui kira-kira 30 meter dari rumah," kata seorang penduduk di Kampung Dadong, Norhaini Hussin, 48.

Norhaini berkata, sebelum ini hanya mengikuti perkembangan tragedi berkenaan melalui media sosial namun tidak menyangka bahawa mayat itu ditemukan anaknya, Shahrul Jefri Mohd Azlan, 21, ketika 'mengambil angin' di sekitar sungai berhampiran.

"Saya hanya sedar penemuan mayat ketujuh iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman,18, semasa mendengar kekecohan berdekatan rumah sebelum dimaklumkan oleh anak saya.

"Anak saya kata dia bersiar-siar naik motosikal sekitar sungai selepas solat Subuh. Dia beritahu mulanya ternampak gabus namun lepas turun dari motosikal rupa-rupanya ada mayat.

"Terkejutlah anak saya apabila nampak ada mayat terbalik dan tersangkut di rumpunan buluh dalam air. Selepas itu dia terus telefon polis dan kami tak sangka penemuan mayat itu berdekatan dengan rumah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, Norhaini berharap dua mangsa yang lain ditemui dengan segera dan urusan pencarian tersebut dipermudahkan.

"Saya harap dua lagi (mayat) ditemui secepat mungkin. Kasihan dan simpati kepada waris dan ahli keluarga mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Mayat pertama, Azizah Eiyi, 40, ditemui jam 12.45 tengah hari Ahad kira-kira 24 km dari lokasi kejadian manakala Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui tersangkut kira-kira jam 3 petang hari yang sama.

Pada Isnin, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Putri Aryana Umaira; 4, Putri Nurerina Natasya; 10, dan bapa mereka, Karim Abdullah, 39, yang ditemui lemas sudah disahkan identiti oleh keluarga mereka.

Sebelum itu, Muhammad Haziq Ziqree, 6, ditemui terapung oleh pasukan pencarian pada jam 11.05 pagi.

Pada Selasa, dua lagi mangsa dikenali sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan Putri Alleya Maisarah Karim,16, ditemui lemas dan merupakan mayat ketujuh dan kelapan dijumpai setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata

'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3