Land swap: Kementerian Pertahanan lapor SPRM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan membuat dua laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendedahkan skandal land swap tanah-tanah kementerian itu, Khamis lalu.

Kementerian melalui kenyataan media hari ini mahu suruhanjaya itu melakukan siasatan terperinci susulan pendedahan tersebut seterusnya mengambil tindakan selanjutnya.

“Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) ini memberi kesan besar kepada Kementerian Pertahanan khususnya kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan projek land swap agar sentiasa berhati-hati dan tidak terlibat dalam sebarang penyalahgunaan kuasa serta rasuah sehingga menyebabkan kegagalan projek sekaligus merugian kerajaan.

“Kementerian Pertahanan mengambil serius berhubung penemuan, teguran dan syor yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa siasatan ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam perkembangan sama, kementerian akan memaklumkan laporan siasatan JKSTUPKK bagi 16 projek land swap itu di laman sesawang rasmi secara berperingkat di bermula semalam hingga Jumaat ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika membentangkan laporan akhir JKSTUPKK di Dewan Negara Khamis lalu menjelaskan, pelaksanaan 13 daripada 16 projek ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah), Kementerian Pertahanan mendapati ada penglibatan anggota pentadbiran iaitu bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan.

Katanya, hasil siasatan ke atas 16 projek tersebut, pihak JKSTUPKK mendapati bahawa anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan melebihi RM500 juta.

Menurut Mohamad, kesemua 16 projek ‘land swap’ tersebut melibatkan sebanyak 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan di antaranya telah dan akan dipindah milik.

Artikel Berkaitan:

Tanah-tanah balasan yang terlibat membabitkan nilai sebanyak RM4.8 bilion mengikut penilaian Jabatan Penilaian Tanah dan Harta (JPPH) dan kos projek sebanyak RM4.9 bilion.

Status projek-projek tersebut berada di pelbagai peringkat pelaksanaan iaitu lima projek telah siap sepenuhnya, satu projek gagal, dua projek sedang dalam pembinaan, satu projek telah ditandatangani, tiga projek masih belum ditandatangani dan empat projek telah mendapat kelulusan prinsip jemaah menteri kerajaan terdahulu.