PN teruskan Himpunan Selamatkan Malaysia

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadual berlangsung di ibu negara hari ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis pemakluman berhubungan penganjuran perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun katanya, polis menolak notis pemakluman penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia kerana didakwa maklumat dikemukakan tidak lengkap.

“Setakat yang saya tahu ia (himpunan) diteruskan (walaupun polis menolak notis pemakluman). Saya juga dimaklumkan pemakluman sudah (telah) disampaikan kepada polis,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama PN bersama NGO akan meneruskan akan sebaliknya mengenai himpunan yang dirancang tersebut.

Ahmad Fadhli dalam satu sidang akhbar pada Ahad lalu memaklumkan pihaknya akan menggerakkan himpunan aman pada 16 September di hadapan kompleks beli-belah Sogo susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau kemudian memaklumkan himpunan itu kemungkinan akan diubah ke lokasi Bukit Bintang.

Sementara itu, ditanya mengenai nasihat kepada rakyat yang menyertai perhimpunan berkenaan, Ahmad Fadhli berkata, semua pihak diminta mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Khamis dilaporkan berkata, pihaknya menolak notis pemakluman penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia kerana maklumat dikemukakan tidak lengkap.

Ia susulan penganjur tidak menepati syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.