Lebih baik tumpukan isu, kebajikan rakyat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

HIMPUNAN Aman Selamatkan Malaysia kini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan rakyat apabila kononnya ia sebahagian kebebasan bersuara dan hak rakyat berhubung pengguguran kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid.

Ia didakwa sebagai usaha mengembalikan semula integriti dan maruah negara yang tercalar.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dalam satu sidang akhbar pada Ahad lalu memaklumkan pihaknya akan menggerakkan himpunan aman pada 16 September di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan himpunan itu kemungkinan akan diubah ke lokasi Bukit Bintang.

Susulan itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos juga tidak teragak-agak menggerakkan kumpulan baju merah sebagai tindak balas terhadap himpunan berkenaan.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Islam untuk berhimpun di masjid seluruh negara pada Sabtu ini.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia bagi majlis bacaan yasin dan solat hajat pada jam 9 malam agar negara sentiasa diberikan rahmat ALLAH SWT.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, setakat hari ini, tiada notis makluman diterima pihaknya mengenai himpunan yang akan diadakan pada Sabtu di ibu negara.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sepatutnya notis itu diberikan kepada pihak polis lima hari sebelum hari kejadian di mana selewat-lewatnya pada Isnin lalu dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bagaimanapun peguam, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, Himpunan Aman Selamatkan Malaysia boleh dibuat tanpa memerlukan permit berdasarkan peruntukan di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, syarat bahawa mana-mana perhimpunan aman perlu memohon permit tidak lagi diguna pakai sejak akta tersebut diwujudkan.

Bagi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, negara kini sudah berada dalam keadaan kelam-kabut susulan tindakan pihak tertentu yang sentiasa berpolitik.

Katanya, adalah sesuatu yang tidak wajar untuk pihak tertentu mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia esok.

Tambah beliau, sebagai rakyat Malaysia yang mendukung Perlembagaan negara, seharusnya semua pihak menghayati dengan penuh insaf kenyataan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan soal perpaduan negara yang semakin lama semakin rapuh.

Bagi rakyat pula, sudah tentu mereka mengharapkan semua pihak khususnya pemimpin politik bersikap matang dalam menangani dan menguruskan sesuatu isu supaya kelak ia tidak mendatangkan lebih banyak keresahan kepada mereka.

Apatah lagi rakyat kini semakin terhimpit dengan pelbagai masalah ekonomi dan sebagainya, dengan kos sara hidup tinggi yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada para pemimpin.

Oleh itu, tumpuan terhadap perancangan dan pelaksanaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat seharusnya diberi keutamaan dalam memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus kekal.