Laksana agenda pembangunan negara bebas rasuah - KSN

Datuk Azhar Ahmad.
Datuk Azhar Ahmad.
A
A
A

SEPANG - Kerajaan sentiasa mengambil langkah tegas dan serius dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, isu kelemahan tata kelola membabitkan kepentingan negara menyebabkan ketirisan wang kerajaan berikutan adanya ruang dalam kelemahan pentadbiran yang perlu diberi perhatian selain mencari jalan penyelesaian.

“Semasa membentangkan wadah baharu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan tata kelola terbaik perlu bagi memperkukuh dan melaksanakan pembaharuan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Perkara ini tidak lagi boleh diselindung atau ‘sweep under carpet', kita sangat tegas dalam perkara membabitkan isu rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Azhar Ahmad sempena penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di Pusat Konvensyen Movenpick.

Mengulas mengenai hasil persidangan, Mohd Zuki berharap dapatan kajian yang dibentangkan boleh dijadikan input signifikan dalam pembaharuan dan pelaksanaan dasar membabitkan aspek tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Azhar menerima resolusi daripada Junipah (kiri) ketika Majlis Perasmian Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah pada Khamis.
Azhar menerima resolusi daripada Junipah (kiri) ketika Majlis Perasmian Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah pada Khamis.

“Sepanjang persidangan berlangsung, kita mendengar pembentangan hasil kajian daripada lima institusi pengajian tinggi (IPT) membabitkan 10 sektor berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun hasil dapatan kajian dibentangkan menyentuh metodologi kajian, isu, cabaran dan risiko rasuah berbeza, namun matlamat hendak dicapai kekal berpaksikan kepada agenda utama iaitu pemerkasaan tata kelola, integriti dan antirasuah.

“Pentadbiran kerajaan tanpa rasuah bermula daripada tata kelola baik dan integriti yang tinggi,” katanya.

Justeru beliau berkata, hasil kajian ini perlu diberi perhatian sewajarnya dalam merangka strategi penambahbaikan ke arah penyampaian perkhidmatan kerajaan yang telus, cekap dan berkesan.

Terdahulu, persidangan menampilkan tema 'Membanteras Rasuah Dalam Kebersamaan: Tiada Noktah' dengan 10 kertas penyelidikan dibentangkan.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama IPT awam dan swasta antaranya Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Multimedia.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi.

10 resolusi persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kedua 2023.

1. Mengusulkan kepada JPA mengguna pakai Instrumen Index Scoring dalam mengukur tahap berkecuali dan kesaksamaan (neutrality and impartiality) dalam kalangan penjawat awam.

2. Memperkukuh dan menyelaras kawalan sempadan di semua pintu masuk negara bagi mengelak ketirisan.

3. Merealisasikan penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dalam mengawal selia urusan perolehan.

4. Meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) untuk merangkumi keperluan mengawal selia sektor tidak formal.

5. Memastikan tata kelola baik di entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan dan mewujudkan perundangan khas.

6. Mempertingkatkan pendidikan dan hebahan kepada masyarakat awam berhubung tatacara dan peraturan penguatkuasaan agensi pengangkutan.

7. Mewujudkan perundangan mewajibkan pelaksanaan Environmental Impact Assessment (EIA) dengan hukuman berat ke atas ketidakpatuhan dan mengukuhkan perundangan sedia ada.

8. Menangani isu campur tangan politik dalam projek pembangunan sektor luar bandar dan pemberian bantuan kepada golongan sasar.

9. Memperluas dan mempercepatkan pelaksanaan pertukaran pegawai antara pihak berkuasa tempatan dan membuat pindaan terhadap Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

10. Meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) khususnya berkaitan kesalahan rasuah, pelanggaran integriti serta tata kelola dan kebertanggungjawaban melibatkan ekosistem pembangunan sukan dalam negara.