Pelatih akademi JPJ lafaz ikrar bebas rasuah

Ibrahim (tiga dari kiri) bergambar bersama pelatih pada program itu.
Ibrahim (tiga dari kiri) bergambar bersama pelatih pada program itu.
A
A
A

MELAKA - Pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diingatkan supaya menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selepas berjaya bergelar kakitangan penguat kuasa itu tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Ibrahim Mohd Yusof berkata, penting kepada warganya untuk menjauh perbuatan meminta dan menerima rasuah kerana tindakan itu bukan sahaja mencemarkan imej malah akan menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Justeru, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan lafaz tiga ikrar pada Majlis Tandatangan Sijil dan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR), Aku Janji dan Akta Rahsia Rasmi.

"Pelaksanaan ikrar ini sebagai usaha untuk kita meningkatkan integriti warga jabatan daripada gejala rasuah bermula dari peringkat awal latihan penguat kuasa di Akademi JPJ.

"Pelatih Kursus Asas JPJ juga akan dibawa melawat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk melihat prosedur serta suasana sekiranya seseorang itu dicekup terlibat dengan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Tandatangan Sijil dan Lafaz Ikrar di Tiang Dua, di sini, pada Rabu.

Sebahagian peserta melafaz ikrar ketika Majlis Tandatangan Sijil dan Lafaz Ikrar di Tiang Dua, di sini, pada Rabu.
Sebahagian peserta melafaz ikrar ketika Majlis Tandatangan Sijil dan Lafaz Ikrar di Tiang Dua, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, pemilihan pelatih berdasarkan tiga kelayakan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Diploma serta Ijazah Sarjana Muda selain Peningkatan Secara Lantikan (PSL) bagi mereka yang telah berkhidmat lebih lima tahun serta lulus ujian yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang layak disaring akan menjalani kursus asas selama tiga bulan.

"Dalam tempoh itu mereka akan mengikuti Pemahaman serta Penguatkuasaan Akta 333, 334, 715 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan, kursus-kursus amali dari Teknikal Kenderaan sehinggalah Pengurusan Digitalisasi JPJ," katanya lagi.

Seramai 128 pelatih Akademi JPJ menyertai ular berkenaan yang turut disaksikan oleh Pengarah Akademi JPJ, Tuan Mohamad Kifli Ma Hasan dan Pengarah Khidmat Pengurusan JPJ, Mohd. Tarmizi Haji Abd. Talib.