Kerajaan serius laksana agenda pembangunan negara bebas rasuah - KSN

Azhar membaca teks ucapan Mohd Zuki sempena penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini pada Khamis.
Azhar membaca teks ucapan Mohd Zuki sempena penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini pada Khamis.
A
A
A

SEPANG - Kerajaan sentiasa mengambil langkah tegas dan serius dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, isu kelemahan tata kelola membabitkan kepentingan negara menyebabkan ketirisan wang kerajaan berikutan adanya ruang dalam kelemahan pentadbiraN perlu diberi perhatian selain mencari jalan penyelesaian.

"Semasa membentangkan wadah baharu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan tata kelola terbaik perlu bagi memperkukuh dan melaksanakan pembaharuan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

"Ingat perkara ini tidak lagi boleh diselindung atau ‘sweep under carpet', kita sangat tegas dalam perkara membabitkan isu ini (rasuah)," katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Azhar Ahmad sempena penutupan Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, di Pusat Konvensyen Movenpick, di sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai hasil persidangan, Mohd Zuki berharap dapatan kajian yang dibentangkan boleh dijadikan input signifikan dalam pembaharuan dan pelaksanaan dasar membabitkan aspek governans, integriti dan antirasuah.

"Sepanjang persidangan berlangsung, kita mendengar pembentangan hasil kajian daripada lima institusi pengajian tinggi (IPT) membamelibatkan 10 sektor yang berbeza.

"Walaupun hasil dapatan kajian yang dibentangkan menyentuh metodologi kajian, isu, cabaran serta risiko rasuah yang berbeza, namun matlamat yang hendak dicapai kekal berpaksikan kepada agenda utama iaitu pemerkasaan tata kelola, integriti dan antirasuah. Hal ini kerana pentadbiran Kerajaan tanpa rasuah bermula daripada tata kelola yang baik dan integriti yang tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru tambahnya, hasil kajian hasil kajian ini amat perlu diberi perhatian sewajarnya dalam usaha merangka strategi penambahbaikan tata kelola ke arah penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang telus, cekap dan berkesan.

Pada persidangan yang bermula pada Rabu yang menampilkan tema 'Membanteras Rasuah Dalam Kebersamaan: Tiada Noktah' sebanyak 10 kertas penyelidikan dibentangkan ia dianjurkan dengan kerjasama institut pengajian tinggi awam dan swasta iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Multimedia (MMU).

Persidangan ini sebagai satu platform bagi perancang dasar dan pemain-pemain industri dalam menilai, merancang dan mengambil tindakan bersesuaian dalam membantu mewujudkan masyarakat Madani yang bebas rasuah.

INFO

10 resolusi persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah

Peringkat Kebangsaan Kali-2 ini, menyaksikan pembentangan sepuluh kertas penyelidikan. Dengan ini, rumusan dari persidangan adalah sebagaimana resolusi berikut;

1. Mengusulkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengguna pakai Instrumen Index Scoring yang dibangunkan dalam mengukur tahap berkecuali dan kesaksamaan (neutrality and impartiality) dalam kalangan penjawat awam.

2. Memperkukuh dan menyelaraskan kawalan sempadan di semua pintu masuk negara bagi mengelakkan sebarang ancaman dan ketirisan hasil negara.

3. Merealisasikan penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dalam mengawal selia urusan perolehan bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan kebertanggungjawaban semua pihak.

4. Meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) untuk merangkumi keperluan mengawal selia sektor tidak formal; dan mewujudkan entiti khusus yang mengawal selia sektor tidak formal.

5. Memastikan tata kelola baik di entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan dengan mewujudkan suatu definisi yang jelas berhubung State-Own Enterprise (SOE) dan mewujudkan perundangan khas bagi mengawalselia entiti berkepentingan milik kerajaan.

6. Mempertingkatkan pendidikan dan hebahan kepada masyarakat awam berhubung tatacara dan peraturan penguatkuasaan agensi-agensi pengangkutan.

7. Mewujudkan perundangan yang mewajibkan pelaksanaan Environmental Impact Assessment (EIA) dengan hukuman berat ke atas ketidakpatuhan; dan mengukuhkan perundangan sedia ada bagi mengenakan hukuman berat ke atas sebarang perlakuan yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar.

8. Menangani isu campur tangan oleh pihak politik dalam projek pembangunan sektor luar bandar dan pemberian bantuan kepada golongan sasar.

9. Memperluas dan mempercepatkan pelaksanaan pertukaran pegawai antara pihak berkuasa tempatan; dan membuat pindaan terhadap Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) untuk memasukkan peruntukan yang mengawal negotiating development contributions di dalam Pelan Kebenaran Merancang.

10. Meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) khususnya berkaitan kesalahan rasuah, pelanggaran integriti serta tata kelola dan kebertanggungjawaban melibatkan ekosistem pembangunan sukan dalam negara.