Pendigitalan sistem kesihatan menjelang 2030 - Dr Zaliha

Dr Zaliha berucap semasa pembukaan persidangan Pengurusan Hospital Asia di sini pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Zaliha berucap semasa pembukaan persidangan Pengurusan Hospital Asia di sini pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk memulakan pendigitalan terhadap sistem kesihatan menjelang 2030 atau lebih awal bagi memberi kemudahan yang terbaik kepada pesakit.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pendigitilan penjagaan kesihatan merupakan antara keutamaan beliau di KKM.

"Teleperubatan, rekod kesihatan elektronik dan analisis data menjadi alat penting dalam landskap penjagaan kesihatan moden kini,” katanya dalam ucapan pembukaan persidangan Pengurusan Hospital Asia di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Malaysia mengiktiraf kepentingan teknologi berkenaan dan telah berusaha gigih untuk mengintegrasikannya dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

"Inovasi ini bukan sahaja untuk menambah baik penjagaan pesakit tetapi juga meningkatkan kecekapan keseluruhan dalam penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya

Menurut Dr Zaliha, kecekapan dalam penjagaan kesihatan adalah mengenai memaksimumkan sumber ketika memberikan penjagaan berkualiti tinggi, yang bermakna mengurangkan beban pentadbiran yang tidak perlu, memperkemaskan proses dan menghapuskan pembaziran.

Katanya, satu daripada cara untuk mencapai matlamat itu ialah melalui pendigitalan rekod penjagaan kesihatan dan pelaksanaan sistem kesihatan elektronik kerana dengan berbuat demikian akan mengurangkan kertas kerja, meminimumkan kesilapan dan meningkatkan kebolehcapaian maklumat pesakit, sekali gus menjadikan penjagaan kesihatan lebih efisien.

Persidangan memasuki edisi ke-22 itu berlangsung dua hari bermula hari ini dan menarik 1,100 peserta dari 28 negara dengan tema ‘Menerima Perubahan untuk Penjagaan Kesihatan yang Lebih Cekap’.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai persidangan itu, Dr Zaliha berkata, ia merupakan peluang untuk KKM sendiri belajar banyak perkara serta berkongsi pengalaman mengenai pengurusan hospital, mempertingkatkan dan memperkemaskan perkhidmatan kesihatan negara serta memantapkan lagi kerjasama awam dan swasta.

Ditanya sama ada kementerian akan mewajibkan vaksin Influenza berikutan kes yang meningkat, beliau berkata, pihaknya perlu memberi vaksin itu kepada petugas barisan hadapan dan kakitangan kesihatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lain.

Mengenai sokongan psikologi kepada keluarga yang kehilangan enam ahli keluarga mereka dalam kemalangan di Segamat pada Jumaat lepas, Dr Zaliha berkata, kementerian telah bekerjasama dengan agensi berkaitan lain dalam menawarkan sokongan yang mungkin diperlukan dan beliau telah bertemu ahli keluarga berkenaan semalam. - Bernama