Lebih RM200,000 baiki kemudahan Orang Asli di Dengkil

Loy Sian
Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM271,976 untuk membaik pulih kemudahan awam termasuk jalan raya di kampung Orang Asli sekitar Dengkil.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, peruntukan itu antara usaha dilaksanakan demi menjaga kebajikan Orang Asli di negeri ini.

“Hari ini kita rasmikan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Baja, Dengkil, yang selesai dibaik pulih melibatkan kos RM84,000.

"Kita mahu memberi keselesaan, kita menaik taraf kemudahan di penempatan Orang Asli kerana sebelum ini, bumbung balai raya bocor dan dimasuki air jika hujan.

"Dengan pengubahsuaian, penduduk boleh jalankan pelbagai aktiviti seperti mesyuarat, perkahwinan dan sebagainya lebih selesa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu beliau merasmikan pembukaan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Baja, Dengkil.

Beliau menambah balai raya berkenaan bukan sahaja dapat dimanfaatkan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Baja malah kepada penduduk Kampung Orang Asli Air Tertentang dan Kampung Orang Asli Bukit Damar yang penduduknya berjumlah hampir 1,000 penduduk.

"Ini antara inisiatif kerajaan negeri dalam membela masyarakat orang asli,” tambahnya.