Permintaan beras tempatan dapat sambutan

Mohd Aminuddin menunjukkan Beras Ganu yang sudah di 'restock' di pasar raya miliknya pada jam 11 pagi Selasa.
Mohd Aminuddin menunjukkan Beras Ganu yang sudah di 'restock' di pasar raya miliknya pada jam 11 pagi Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Permintaan beras putih tempatan sangat tinggi dalam kalangan penduduk setempat sehingga habis terjual sejak awal pagi berikutan kenaikan harga beras putih import berkuat kuasa pada 1 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Al-Amin Barokah (M) Sdn Bhd, Mohd Aminuddin Awang Ludin berkata, beras tempatan iaitu Beras Ganu mendapat sambutan susulan harga yang dijual lebih murah berbanding beras import lain.

"Dulu permintaan beras tempatan terutama Beras Ganu kurang sebab beras ini masih baharu dan tekstur nasi daripada beras ini dikatakan lembut setelah dimasak. Namun setelah kita tingkatkan kualiti, orang ramai sudah boleh terima.

"Bagaimanapun kenaikan harga beras import menyebabkan ramai yang ingin membeli beras tempatan. Kita jual mengikut harga ditetapkan iaitu RM13 untuk lima kilogram (kg) dan RM26 bagi 10 kg.

"Berdasarkan jualan Beras Ganu beberapa hari lepas ia telah terjual sebanyak 1,000 kampit sehari. Stok pada awal pagi tadi memang habis terjual tapi kita sudah 'restock' 600 kampit beras lima kg dan 10 kg pada jam 11 pagi tadi untuk penuhi keperluan pengguna yang ingin membeli Beras Ganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di Pasaraya Ameen Hallmart dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Aminuddin berkata, orang ramai mula datang membeli beras tempatan di pasar raya miliknya itu apabila mengetahui beras tempatan dijual di sini lebih murah berbanding beras import lain.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan permintaan terhadap beras tempatan bertambah, namun ketika ini stok beras tempatan yang ada agak terhad.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Mohd Aminuddin berkata, beliau terpaksa mengehadkan pembelian dengan dua kampit beras tempatan bagi setiap individu disebabkan permintaan melebihi penawaran.

"Stok padi kita juga sudah habis dan hanya ada lebih kurang 25 tan sahaja lagi di kilang ketika ini untuk proses minggu ini.

"Malah pihak Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) yang bekalkan beras kepada kita juga sedang cari alternatif dengan mendapatkan sumber padi dari Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam masa terdekat," jelasnya.

Selain itu, katanya, beras import lain juga dijual di pasar raya miliknya dengan harga yang berpatutan antara RM14 hingga RM18 bagi lima kg manakala RM30 hingga RM38 bagi 10 kg mengikut jenama.

Sebelum ini, Bernas melaporkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa pada Jumaat.

Menurut Bernas, pelarasan itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan.

Pada 2 September lalu, pengilang padi dan pemborong beras negara dilaporkan diminta untuk meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT)

sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan itu di pasaran.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan dilaporkan memaklumkan, hasrat tersebut telah dipersetujui pengilang padi dan pemborong beras dalam satu sesi libat urus pada 27 Ogos lalu, di Alor Setar, Kedah.