Pengguna gusar bekalan beras putih tempatan terjejas

Rafishah menunjukkan beras putih tempatan 10 kg yang menjadi pilihannya.
Rafishah menunjukkan beras putih tempatan 10 kg yang menjadi pilihannya.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengguna di negeri ini gusar kenaikan harga beras putih import akan menjejaskan bekalan beras putih tempatan.

Seorang peniaga, Rafishah Saad, 52 berkata, sebagai peniaga makanan dia sangat memerlukan bekalan beras tempatan untuk perniagaannya setiap hari.

Bagaimana pun katanya, berdasarkan pemerhatiannya, bekalan beras tempatan sukar didapati sejak kebelakangan ini.

"Kalau pergi kedai runcit, memang susah nak jumpa beras tempatan yang 10 kilogram (kg), kena cari di pasar raya besar.

"Tapi di pasar raya pun tak banyak beras tempatan, beras import yang banyak, saya risau kalau lama-lama nanti beras tempatan terus tak ada," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya dekat sini pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan perlu melakukan pemantauan supaya beras putih tempatan tidak terjejas dan tidak berlaku kenaikan harga.

"Bukan peniaga saja yang risau, saya rasa keluarga yang anak ramai, orang susah pun risau. Kalau nanti beras tempatan susah dapat, mampu kah rakyat nak beli beras import yang mahal?," soalnya.

Seorang pemilik kedai runcit yang dikenali sebagai Kang, 55, berkata, bekalan beras putih tempatan di kedainya tidak mencukupi untuk menampung permintaan pengguna sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Banyak beras import sahaja yang masuk ke sini, beras tempatan banyak di hantar ke pasar raya. Jadi bila pelanggan datang cari memang tak ada," jelasnya.

Bagi pelajar, Nur Rashidah Abdul Rashid, 25, keluarganya sudah serasi dengan penggunaan beras putih tempatan dan tidak pernah terfikir untuk beralih kepada beras import.

"Kita tak tahu bagaimana beras import itu di proses sebelum dibawa masuk ke sini, kalau beras tempatan tu kita dah tahu macam mana ia ditanam dan sebagainya," katanya

Nur Rashidah berkata, dia berharap dalam situasi kenaikan harga beras import ini tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mencampur beras tempatan dengan import untuk dijual kepada pengguna.

"Saya rasa dalam isu ini kerajaan kena buat penguatkuasaan, kita sebagai pengguna memang tak tahu kalau beras yang dibeli itu dicampur.

"Kita beli satu kampit terus, beras pula nampak sama saja daripada luar, mungkin bila dah beli dan masak baru tahu rupanya dicampur," katanya.

Bagi pesara, Lim Eng Tun, 69, keluarganya menggunakan kedua-dua jenis beras sebagai makanan ruji mereka di rumah.

"Baru-baru ini saya tengok beras import ada diskaun jadi saya beli, tapi di rumah kami cuma duduk dua orang saja, sekali beli beras tahan sampai dua bulan.

"Cuma saya tak tahu mereka ada campur beras import dengan tempatan atau tak sebab kita susah nak kenal pasti," jelasnya.

Justeru, Eng Tun berharap pembekal bersikap telus dan tidak menipu pengguna dengan mencampur beras import dan tempatan dalam bungkusan yang sama.

"Kalau mereka tipu, mereka berdosa la. Jadi saya harap kerajaan dapat periksa supaya tak ada yang tipu pengguna," katanya.