UPNP tangani 96 kes ceroboh tanah kerajaan tahun ini

UPNP berjaya membanteras 96 kes pencerobohan tanah kerajaan di Pahang dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. - Gambar hiasan - Foto 123RF
UPNP berjaya membanteras 96 kes pencerobohan tanah kerajaan di Pahang dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. - Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya membanteras 96 kes pencerobohan tanah kerajaan di negeri ini dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ia merangkumi kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara, Enakmen Mineral Negeri Pahang. Akta Perhutanan Negara dan Enakmen Sumber Air Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasil tindakan penguatkuasaan itu, 229 sitaan jentera dan eksibit direkodkan dengan jumlah kompaun dan denda RM1.4 juta.

Menurutnya, tahun lalu, UPNP merekodkan 133 kes berkaitan melibatkan 117 sitaan jentera dan eksibit manakala kutipan kompaun mencecah RM1.5 juta.

"Kerajaan negeri Pahang menekankan kepada tindakan pendakwaan di mahkamah bagi semua kesalahan berkaitan sebagai pengajaran agar tiada pihak menceroboh tanah kerajaan di negeri ini dengan sewenang-wenangnya.

"Setakat ini sebanyak lapan kes telah dibawa ke muka pengadilan termasuk kes melibatkan kesalahan melombong pasir silika di kawasan tanah kerajaan di Kuantan.

"Dalam keputusan kes itu, pesalah telah didenda RM200,000 manakala semua jentera yang disita telah diperintahkan untuk dilucut hak kepada Kerajaan Negeri Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, perkembangan itu menjadi titik tolak kepada UPNP untuk membawa lebih banyak kes ke mahkamah bagi menjaga kepentingan dan sumber negeri daripada terus dirompak," katanya.

"Keberhasilan penguatkuasaan dijalankan UPNP tidak boleh dinilai berdasarkan kutipan kompaun sahaja tetapi boleh ditafsirkan secara tidak langsung dengan peningkatan hasil di pejabat daerah dan tanah serta anak syarikat kerajaan negeri.

"Sebagai contoh kutipan royalti bahan batuan bagi daerah Temerloh telah meningkat 150 peratus dari RM2.3 juta pada 2021 kepada RM3.5 juta pada tahun 2022,

"Bagi daerah Lipis pula, ia meningkat 169 peratus dari RM385,000 pada 2021 kepada RM653,000 pada tahun lalu.

"Pencapaian ini merupakan salah satu contoh keberkesanan tindakan penguatkuasaan UPNP secara tidak langsung iaitu peningkatan pematuhan dalam kalangan semua pengusaha," ujarnya.

Tambah beliau, contoh lain yang dapat dilihat melalui Skim Pelombong Kecil yang dijalankan di Mukim Kechau, Daerah Lipis.

"Sejak 2021, sebanyak 36 kes perlombongan emas haram di sekitar daerah Lipis telah berjaya dibanteras dan secara tidak langsung telah membawa kepada kelulusan Skim Pelombong Kecil Mukim Kechau, Daerah Lipis pada 2022.

"Sehingga Ogos 2023, projek ini telah memberikan royalti mineral (emas) kepada Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM1.2 juta," katanya.

Tambah beliau, selain tindakan sitaan dan tangkapan, UPNP juga menjalankan tindakan penguatkuasaan di atas tanah milik anak syarikat negeri Pahang dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) selaras Seksyen 425(2) Kanun Tanah Negara.

"Bantuan tindakan penguatkuasaan itu penting kerana selepas peneroka haram berjaya dibanteras, pelabur dan pemajak tanah berkaitan boleh membawa masuk pelaburan baru dan meningkatkan lagi hasil bagi kerajaan negeri.

"Sehingga kini, UPNP telah berjaya menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi tanah seluas 1,360 ekar dan membolehkan tanah berkaitan ini dipajak dan diusahakan secara komersil," katanya.