Lapan lelaki termasuk warga asing mengaku ceroboh tanah rezab

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai lapan termasuk tiga warga asing mengaku bersalah di tiga Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Jumaat, atas tuduhan menceroboh tanah rezab Sungai Klang, pada Selasa minggu lalu.

Mereka ialah Ng Teck Loon, 44; Sugan Muniandy, 35; Kumaran Muniandy, 44; Tee Soon Beng, 55; Thiagarajan Jay Ramey, 45; Amritpal Singh (warga Negara India), 25 dan warga Negara Indonesia, Rajul Fuddahri, 20, serta Muhammad Siddiq, 24.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu, Faizah Abd Sani dan Muhammad Syafiq Sulaiman.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 1 dan 16 Jun depan untuk fakta kes sebelum menjatuhi hukuman.

Dalam pada itu, tiga lagi lelaki, Anis Ahmad Hanifah, 45; Shivaneswaran Hutra Gumar, 28 dan Sathishkumar Subramaniam, 34 mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat hendak melakukan sesuatu kesalahan jenayah di tanah rezab Sungai Klang, Jalan Ngah Ibrahim di sini pada jam 11.30 pagi, 9 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Erneetha Kaur Baghwant Singh, Nurul Farah Sofea Norazman, Saidah Fasihah Che Yussoff dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Sementara kesemua tertuduh diwakili peguam antaranya Farith Emier Farhan, Harvind Ramar dan Jason Anthony.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh warga tempatan diikat jamin antara RM1,500 hingga RM3,000 dengan seorang penjamin manakala warga asing tidak dibenarkan untuk dilepas dengan jaminan.