Amirudin kesal isu SMG masih diungkit

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi menegaskan isu berkaitan pembersihan Sungai Klang dan usaha sama syarikat Berjaya Land Sdn Bhd telah dijawab termasuk di Parlimen pada awal tahun ini.

Namun Amirudin kesal isu berkenaan masih lagi dimainkan sebagai modal politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menjelang pilihan raya negeri (PRN) Selangor.

"Berkenaan isu projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) berkaitan pembersihan Sungai Klang dan usaha sama dengan syarikat Berjaya Land Sdn Bhd, saya telah jawab awal tahun ini.

"Sampai sekarang fitnah ini masih diulang-ulang menjadi modal politik murahan oleh mereka yang ketandusan nilai moral," ciapnya di laman Twitternya pada Selasa.

Minggu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam Jelajah Mega PN Best "Sayangi Kedah Sejahtera" di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 242 hektar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.

Landasan Lumayan yang merupakan pemaju utama projek inisiatif Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu, adalah dilantik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Landasan Lumayan, sebuah anak syarikat MBI yang merupakan pemegang 45 peratus tanah dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus) membentuk sebuah syarikat tujuan khas melalui usaha sama (JVCo) yang dikenali dengan nama Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB), antara lainnya, untuk membersihkan dan membangunkan Sungai Klang.

Artikel Berkaitan:

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!