Vincent Tan saman Sanusi RM200 juta

Vincent Tan dan Sanusi Md Nor
Vincent Tan dan Sanusi Md Nor
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan mengemukakan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.

Ia susulan kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Muhammad Sanusi mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Kumpulan Berjaya dalam satu kenyataan berkata, satu surat tuntutan telah dihantar kepada Sanusi pada 5 Ogos lalu, menuntut beliau menarik balik kenyataan itu tanpa syarat.

Syarikat itu juga menuntut Sanusi agar memohon maaf secara terbuka, memberi jaminan tidak mengulangi tuduhan itu dan membayar pampasan sebanyak RM200 juta.

“Sekiranya Sanusi gagal mematuhi tuntutan itu menjelang 8 Ogos ini, satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap beliau.

"Pada masa sama, Vincent dan Berjaya Land turut membuat laporan polis terhadap Sanusi dan beberapa individu seperti seperti blogger Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin (lebih dikenali sebagai Chegubard), dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan-kenyataan fitnah terhadap Projek SMG," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Sementara itu, Vincent Tan berkata, kenyataan-kenyataan fitnah itu telah mencermarkan integriti, reputasi dan imej beliau serta Berjaya Land.

"Tuduhan-tuduhan yang di lemparkan ini telah menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah.

“Kami ingin menyampaikan mesej yang jelas bahawa sesiapa yang membuat sebarang kenyataan yang berbaur palsu dan mencemarkan imej kami tidak akan dipandang endah dan kami ingin pihak yang terlibat bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

Untuk rekod, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) kini terpaksa berdepan dengan beberapa kes di mahkamah dan juga tuntutan saman.

Pada 17 Julai lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Beliau didakwa didapati melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Selain itu, Sanusi juga berdepan tindakan undang-undang daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkaitan ucapan fitnah pada Majlis Jelajah Mega PN BEST ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ di Dataran Darul Aman, Jitra di Kedah.

Sanusi mendakwa Amirudin turut terlibat dalam skandal dengan pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang.

Ekoran itu, Berjaya Land turut membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan Sanusi yang didakwa dibuat secara 'melulu dan berniat jahat' berkait syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed berkata, pihak syarikat secara kategorikal dan tegas menafikan semua tuduhan tidak berasas ketika Sanusi berucap dalam ceramah, pada 2 Ogos di Kedah.