Sanusi enggan ulas saman Vincent Tan

Sanusi ditemui selepas ceramah di Program Mai Sat bersama Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju Taman Tunku Yaakob di Alor Setar pada Selasa.
Sanusi ditemui selepas ceramah di Program Mai Sat bersama Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju Taman Tunku Yaakob di Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor enggan mengulas lanjut mengenai saman terhadapnya yang dibuat oleh Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.

"Tak... kes itu masih berkembang. Dokumen sedang didedahkan. Kita tengoklah sehari dua lagi. No futher comment (tiada ulasan lanjut)," katanya ketika ditemui selepas ceramah di Program Mai Sat bersama Menteri Besar Kedah di Gelanggang Sepak Raga Tuju Taman Tunku Yaakob di sini pada Selasa.

Tuntutan itu dibuat susulan dakwaan Sanusi membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Pada Isnin, laporan menyebut tuntutan itu dibuat selepas Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika 'Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) Best' dan 'PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour', 2 Ogos lalu.

Dalam satu kenyataan, Berjaya Land memaklumkan bahawa satu surat tuntutan melalui firma guaman mewakili Vincent Tan dan pihaknya dikemukakan kepada Sanusi yang menggariskan lima tuntutan.

Satu kenyataan media oleh Berjaya Land memaklumkan, tindakan undang-undang akan diambil jika pihak Sanusi gagal mematuhi tuntutan yang dikemukakan sebelum 8 Ogos.

Antara tuntutan itu termasuk Sanusi tanpa syarat menarik balik semua kenyataan defamasi dalam ucapannya yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land, selain mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat. Turut dituntut, pampasan berjumlah RM200 juta.

Artikel Berkaitan: