Bukan di kubur Tok Kenali saja kena jaga adab

Tangkap layar rakaman ritual pelik di makam Tok Kenali yang tular pada Rabu
Tangkap layar rakaman ritual pelik di makam Tok Kenali yang tular pada Rabu
A
A
A

DUA video yang tular minggu ini berkaitan amalan pelik keagamaan membuatkan Merak Jalanan tertanya-tanya tentang sejauh mana orang Islam di negara ini faham akan agama mereka.

Video pertama membabitkan seorang lelaki dipercayai beragama Islam membacakan doa dalam satu ritual agama lain di Kuala Lumpur sempena majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu sebuah parti politik.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Walaupun kita mengamalkan toleransi agama, tapi pelik sangatlah, ibaratnya bolehkah kita panggil tok sami datang bacakan doa untuk kenduri kahwin anak kita? Bagaimana dari segi akidah dan fatwa? Inilah yang sedang disiasat oleh JAWI.

Merak Jalanan juga berharap JAWI nanti dapat jelaskan sama ada tindakan lelaki itu diharuskan atau tidak kerana kita tidak mahu ada persepsi agama Islam sedang dipergunakan.

Video kedua pula berlaku di Kelantan. Kali ini membabitkan amalan berzikir dengan cara yang pelik di kubur ulama tersohor, Tok Kenali di Kota Bharu.

Dalam video itu, sekumpulan lelaki dan perempuan berzikir dengan kuat sambil mengenjut-enjut tubuh di sekeliling makam. Mereka dipercayai orang Thailand berdasarkan nombor plat kenderaan.Yang menjadi punca percakapan kerana amalan itu kelihatan berlebih-lebihan dan ada unsur taasub.

Tok Kenali ialah seorang tokoh ulama terkenal di Asia Tenggara pada awal abad ke-20. Tak hairanlah hampir setiap hari ada sahaja orang datang dari jauh dan dekat untuk menziarahi makamnya.

Artikel Berkaitan:

Ziarah kubur adalah benda baik tapi cara kumpulan pelawat makam Tok Kenali itu boleh menimbulkan fitnah pula.

Seingat Merak Jalanan, orang kita memang ada sejarah aktiviti khurafat dan puja kubur seperti di Pulau Besar, Melaka. Ramai yang datang ke pulau itu suatu masa dulu untuk pasang niat termasuk bagi melariskan perniagaan dan mendapatkan zuriat.

Pesan Merak Jalanan, jagalah adab di perkuburan. Jangan disebabkan perbuatan kita, agama Islam dipandang serong.