AI bakal cetus huru-hara?

KECERDASAN buatan (AI) kini semakin dirasai dalam kehidupan seharian. Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan, timbul persoalan besar: Sejauh manakah manusia bersedia menghadapi perubahan yang bakal dibawa oleh AI?
Amaran pengasas bersama Microsoft, Bill Gates, bahawa AI berpotensi mencetuskan pergolakan ekonomi dan sosial sepanjang tempoh peralihan sehingga dua dekad, wajar diberikan perhatian serius.
Beliau membayangkan kemunculan golongan yang mendapat manfaat besar daripada teknologi ini, manakala sebahagian lagi berisiko kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Hakikatnya, perubahan itu sudah bermula. Penggunaan chatbot dan sistem automasi membolehkan syarikat mengendalikan pertanyaan pelanggan tanpa bergantung sepenuhnya pada tenaga manusia.
Dalam bidang penulisan, penterjemahan dan reka bentuk grafik pula, AI mampu menghasilkan draf kandungan, menterjemah teks serta mencipta visual dalam masa singkat.
Sektor pembuatan turut menyaksikan penggunaan robot dan sistem pintar bagi melaksanakan tugas berulang. Dalam bidang perakaunan dan pentadbiran, kerja memasukkan data, menyediakan laporan serta memproses dokumen juga semakin mudah diautomasikan.
Walaupun tidak semua tugas ini akan menghapuskan pekerjaan secara menyeluruh, perubahan tersebut boleh mengurangkan keperluan terhadap sesetengah jawatan, mengubah skop kerja dan memaksa pekerja mempelajari kemahiran baharu.
Kemajuan teknologi tidak seharusnya diukur berdasarkan keuntungan serta kepantasan semata-mata, sebaliknya perlu ambil kira kesejahteraan manusia.
Kerajaan perlu memperkukuh perlindungan pekerja, memperluas latihan kemahiran digital dan memastikan sistem pendidikan bersedia menghadapi perubahan pasaran kerja.
Syarikat pula tidak boleh menjadikan automasi sebagai alasan untuk mengetepikan kebajikan pekerja tanpa menyediakan sokongan sewajarnya.
Pada masa sama, pengawasan terhadap keselamatan siber, penyalahgunaan teknologi dan risiko AI perlu dipertingkatkan.
AI mungkin membuka jalan kepada kehidupan yang lebih makmur. Namun, tanpa perancangan dan pengurusan yang bertanggungjawab, kemajuan itu juga boleh mencetuskan ketidaktentuan yang berpanjangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
