'Kena tanya PM dari mana dia dengar' - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Persoalan berkaitan desas-desus pertukaran kerajaan pusat perlu ditanyakan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, isu pertukaran kerajaan itu hanya dibangkitkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menjadi bualan dalam kalangan rakyat.

"Dari mana kita dapat dengar cerita berkaitan dengan 'ada angka' atau 'ada langkah-langkah' tertentu ini? Setahu saya kita dengar ini daripada dua sumber

"Pertama ialah daripada dia (Anwar) yang sebut dan yang kedua pula kalau kita pergi mana-mana pun rakyat sebut soalan ini.

"Jadi, itulah komen saya (buat masa ini), apa-apa kena tanya PM dari mana dia dengar dan kenapa rakyat bercakap soal ini," katanya pada sidang akhbar khas berkenaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretarian Perikatan Nasional (PN) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan beberapa barisan kepimpinan Pas dan Parti Bersatu Pahang.

Seramai 17 ADUN PN hadir ke mesyuarat khas berkenaan persidangan DUN dan persiapan menjelang PRN di Pejabat Sekretarian PN pada Isnin.
Seramai 17 ADUN PN hadir ke mesyuarat khas berkenaan persidangan DUN dan persiapan menjelang PRN di Pejabat Sekretarian PN pada Isnin.

Sebelum ini, isu mengenai pertukaran kerajaan mula kedengaran sejak awal penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada 28 Februari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika sidang Parlimen memberitahu Dewan Rakyat bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan jika kerajaan persekutuan tumbang.

Ahli Parlimen Marang itu kemudiannya pada 3 Mac mempertahankan kenyataan dibuatnya dan menggambarkan perubahan kerajaan adalah satu perkara biasa dalam politik.

Pada 5 Mei lalu, Anwar pada sidang akhbar menyuarakan keyakinannya bahawa pentadbiran diterajuinya akan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, ada laporan menyatakan bahawa pembangkang sudah mempunyai akuan bersumpah (SD) yang mencukupi dan akan menamakan calon perdana menteri dalam masa terdekat.