Saridewi wanita kedua dihukum mati di Singapura minggu ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
SINGAPURA - Hukuman mati ke atas Saridewi Djamani dilaksanakan awal hari ini (28 Julai), menjadikannya wanita kedua yang dihukum mati atas kesalahan dadah di Singapura dalam tempoh hampir dua dekad.

Nasib Saridewi telah mendapat perhatian kebanyakkan media asing dan bantahan daripada kumpulan hak asasi manusia yang berpendapat bahawa hukuman mati republik itu sebagai keras dan tidak berperikemanusiaan.

Warga Singapura berusia 45 tahun itu juga merupakan pesalah kedua dihukum mati minggu ini selepas Mohd Aziz Hussain, 56 tahun, mengalami nasib yang sama pada Rabu, juga atas kesalahan dadah.

Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB) mengeluarkan kenyataan pada Jumaat bagi memberi maklum balas terhadap pertanyaan media dengan menyatakan Saridewi telah melalui proses yang sewajarnya di bawah undang-undang, dan diwakili oleh peguam bela sepanjang proses itu.

"Saridewi telah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati pada 6 Julai 2018. Dia merayu terhadap sabitan dan hukumannya, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 6 Oktober 2022.

"Petisyen Saridewi kepada Presiden untuk mendapat pengampunan tidak berjaya," menurut biro itu.



Wanita terbabit disabitkan bersalah memiliki 30.72 gram diamorfin, atau heroin tulen dan Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati jika jumlah diamorfin melebihi 15 gram .

"30.72 gram diamorphine adalah lebih daripada dua kali ganda jumlah itu, dan mencukupi untuk bekalan 370 penagih dadah selama seminggu," menurut kenyataan itu.

CNB menjelaskan bahawa hukuman mati hanya dilaksanakan untuk jenayah yang paling serius, seperti pengedaran dadah dalam kuantiti yang banyak yang menyebabkan kemudaratan serius, bukan sahaja kepada individu, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat. - Bernama