Maritim tahan tekong, dua awak-awak

Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong serta dua awak-awak.
Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong serta dua awak-awak.
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong serta dua awak-awak kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri, dalam pemeriksaan di kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Kemaman, pada Selasa.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mereka yang berusia antara 30 hingga 57 tahun itu ditahan pada jam 9.20 pagi.

"Bot terbabit ditahan ketika anggota melakukan rondaan rutin Op Iman di sekitar perairan Terengganu dan memeriksa sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua awak-awak yang merupakan warga Vietnam gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah, selain disyaki melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, tekong serta dua awak-awak itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

"Kita akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat.

"Selain itu, kita turut memperkasakan penguatkuasaan bagi menggesa komuniti maritim terutamanya komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut," jelasnya.

Artikel Berkaitan: