Tingkat kembali sektor batik Terengganu

Keputusan kerajaan meluluskan pemakaian batik Malaysia pada setiap Khamis dan hari bekerja lain dijangka memberi suntikan bagi meningkatkan lagi industri batik di Terengganu.
Keputusan kerajaan meluluskan pemakaian batik Malaysia pada setiap Khamis dan hari bekerja lain dijangka memberi suntikan bagi meningkatkan lagi industri batik di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keputusan kerajaan meluluskan pemakaian batik Malaysia pada setiap Khamis dan hari bekerja lain dijangka memberi suntikan bagi meningkatkan lagi industri batik di Terengganu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha itu disambut baik oleh semua pengusaha selain turut menjangka ia akan berpotensi meningkatkan jualan dan pasaran batik tradisional di negeri itu.

"Dari segi prestasi jualan batik di Terengganu kini boleh dikatakan agak suram memandangkan sebelum ini batik hanya digalak dan diwajibkan untuk dipakai pada hari Khamis sahaja.

"Selepas kerajaan meluluskan untuk ia dipakai pada hari biasa bekerja, kita jangka ia membantu dari segi meningkatkan jualan batik di Terengganu dan sudah tentu ia disambut baik oleh semua pengusaha batik tempatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Menurut Razali, kerajaan juga diharap memainkan peranan dalam mengekang kemasukan lambakan batik dari luar negara yang merencatkan sektor batik tempatan.

"Batik luar harga memang murah namun kualitinya tidak setanding dan jauh berbeza dengan batik tempatan dan tradisional.

"Batik luar, nampak sahaja cantik pakai dua hari dah terjejas dan tiada kualiti," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha batik, Nor Azlida Abdullah berkata, keputusan kerajaan itu dijangka memberi nafas baharu kepada pengusaha batik di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Kami amat menyambut baik usaha kerajaan memandangkan sektor industri batik di Terengganu kini agak perlahan disebabkan ancaman dan persaingan batik dari luar.

"Jadi, dengan usaha dan sokongan dari kerajaan ini kita jangka ia memberi nafas baharu dan mengangkat kembali kegemilangan pembuatan batik tempatan," katanya.

Isnin lalu, semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain adalah digalakkan.

Peraturan itu yang berkuat kuasa 21 Ogos 2023 dinyatakan dalam surat edaran "Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan" bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Zulkapli Mohamed.

Ketetapan pemakaian batik itu dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.