Kerajaan rekod 329 kes, 23 maut akibat batuk kokol

Sebanyak 329 kes Pertussis atau batuk kokol dilaporkan di seluruh negara membabitkan 23 kematian tahun ini sehingga Sabtu lalu. - Gambar hiasan 123RF
Sebanyak 329 kes Pertussis atau batuk kokol dilaporkan di seluruh negara membabitkan 23 kematian tahun ini sehingga Sabtu lalu. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 329 kes Pertussis atau batuk kokol dilaporkan di seluruh negara membabitkan 23 kematian tahun ini sehingga Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, Sabah merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 181 kes.

"Ia disusuli Selangor dengan 51 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pahang (13) dan Perak (13), Melaka (12) dan Negeri Sembilan (12), Johor (sembilan), Sarawak (lapan), Kelantan (tujuh), Kedah (tiga) dan Terengganu (tiga).

"Pulau Pinang dan Labuan masing-masing merekodkan satu kes manakala tiada jangkitan dilaporkan di Perlis," katanya menerusi kenyataan, di sini, pada Selasa.

Menurut Muhammad Radzi, daripada jumlah itu juga sebanyak 219 kes atau 66.6 peratus adalah warga tempatan manakala 110 kes (33.4 peratus) lagi membabitkan warga asing.

"Bayi berusia 12 bulan ke bawah adalah kumpulan umur mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 189 kes.

"Ia disusuli kanak-kanak berusia antara satu hingga 10 tahun sebanyak 94 kes dan selebihnya berusia 11 tahun ke atas," katanya.

Muhammad Radzi berkata, ibu bapa digesa untuk mendapatkan imunisasi lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

"Di negara ini, vaksin Pertussis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan.

"Ia diberikan dalam bentuk vaksin kombinasi enam serangkai iaitu Difteria, Tetanus, Pertussis, Polio, Hepatitis B dan Haemophilus Influenzae Type B.

"Kanak-kanak yang tercicir imunisasi boleh dibawa ke klinik kesihatan berhampiran bagi melengkapkan imunisasi mereka," katanya.

Beliau berkata, individu bergejala dinasihati sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin dengan menutup mulut serta mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain terutama kanak-kanak.

"Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala Pertussis," katanya.