Peniaga pasar tani bantah cadangan pindah ke lokasi baharu

Sekumpulan peniaga memegang plakad membantah cadangan terhadap keputusan memindahkan mereka ke lokasi perniagaan lain.
Sekumpulan peniaga memegang plakad membantah cadangan terhadap keputusan memindahkan mereka ke lokasi perniagaan lain.
A
A
A

BESUT - Sekumpulan peniaga Pasar Tani Kuala Besut, di sini membantah cadangan untuk membina rangkaian restoran makanan segera di tapak perniagaan yang diusahakan mereka sejak 40 tahun lalu.

Wakil peniaga, Mohd Sukeri Mohammad, 45, berkata, rata-rata peniaga kurang bersetuju dan enggan berpindah ke lokasi perniagaan baharu kerana mendakwa lokasi yang dicadangkan itu tidak strategik dan jauh daripada pelanggan.

"Kami tak setuju tempat kami berniaga ini diambil oleh orang perseorangan untuk membangunkan rangkaian restoran makanan segera kerana kami sudah 40 tahun cari makan di kawasan ini.

"Bila pindah tempat baharu, banyak masalah yang akan kami alami antaranya melibatkan sambutan pelanggan. Dalam keadaan ekonomi yang teruk sekarang mengapa kami perlu dipindahkan jauh ke belakang di tepi laut.

"Sepatutnya mereka yang mahu bina restoran itulah yang ambil tapak baharu seperti yang dicadangkan kepada kami itu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Sukeri berkata, ia bukan melibatkan soal politik tetapi lebih kepada hak penjaja yang mencari rezeki di lokasi perniagaan itu.

"Ni bukan soal politik, tapi hak perjaja dan hak orang ramai. Restoran makanan segera tu bagi keuntungan pada orang perseorangan sedangkan kat sini ada kira-kira 200 peniaga kecil yang cari makan.

"Mereka berniaga bukan pada hari ada pasar tani sahaja iaitu Jumaat dan Isnin, hampir setiap hari ada penjaja-penjaja kecil yang mencari rezeki di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nor Hasanah Othman, 40, berkata, mereka terkilan kerana tidak diberitahu mengenai cadangan pembinaan restoran makanan segera di situ.

"Sepatutnya pihak berkenaan panggil peniaga, adakan perbincangan dahulu, dapatkan juga suara kami yang dah lama guna kawasan ini untuk cari rezeki.

"Ini tiada langsung perbincangan. Kami dapat tahu pun melalui Facebook yang kata peniaga perlu pindah ke tempat baharu dan akan bina restoran makanan segera di tapak pasar tani ini," katanya.

Nor Hasanah memberitahu, kedudukan lokasi baharu itu tidak sesuai kepada penjaja dan peniaga kecil seperti mereka serta dikhuatiri akan menjejaskan perniagaan.

"Dia (lokasi baharu) bukan tapak untuk pasar minggu. Keadaan kawasan pun sempit, tak boleh buka khemah. Bangunan tu untuk medan selera. Kami tak boleh masuk dalam kawasan tu untuk berniaga hanya boleh niaga di kawasan luar dan di tepi jalan juga," katanya.

Sementara itu, Majlis Daerah Besut dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, Pasar Tani Kuala Besut akan berpindah ke Kuala Besut Square bagi memberi keselesaan kepada peniaga terlibat.

Katanya, tapak lama yang merupakan tanah Majlis Daerah Besut akan dibina sebuah restoran makanan segerayang akan merancakkan ekonomi setempat serta mengubah sosioekonomi masyarakat.

"Tapak pasar tani baharu itu akan dilengkapi tandas, surau dan fasiliti yang memudahkan pengunjung serta jauh dari kesesakan aliran trafik.

"Lokasi baharu lebih selamat dan teratur malah menjamin keselamatan peniaga dan pembeli serta mengelakkan risiko kemalangan berbanding lokasi lama yang terletak di tepi jalan utama," kata kenyataan itu.