Penduduk bantah cadangan insinerator Batu Arang

Mohd Rafiq (tengah, baju kuning) bersama wakil penduduk membantah projek membangunkan insinerator di Lot 3847 di sini.
Mohd Rafiq (tengah, baju kuning) bersama wakil penduduk membantah projek membangunkan insinerator di Lot 3847 di sini.
A
A
A

RAWANG - Lebih 20 persatuan mewakili 100,000 penduduk di Batu Arang, Kota Puteri, Kundang, Bandar Tasik Puteri dan Bandar Country Homes membantah cadangan projek membangunkan insinerator di Lot 3847 di sini.

Penyelaras Jaringan Rawang Tolak Insinerator, Dr Lam Choong Wah berkata, penduduk menggesa kerajaan Persekutuan dan negeri membatalkan cadangan projek loji sisa ke tenaga itu dengan mengambil kira faktor persekitaran dan pengurusan sisa pepejal.

Menurutnya, lokasi projek itu yang kurang satu kilometer dari rumah penduduk dan sekolah serta rumah ibadah dikhuatiri mengundang risiko kesihatan, keselamatan dan sosial penduduk.

"Pembakaran sisa memudaratkan kesihatan penduduk dan alam sekitar melalui pelepasan toksik yang membawa kepada pencemaran udara, tanah dan air serta tanaman.

"Penduduk juga bakal berdepan masalah bau, kesesakan lalu lintas seterusnya susut nilai tanah serta kehilangan kawasan hijau jika projek ini diteruskan," katanya pada sesi taklimat dan sidang akhbar pada Sabtu.

Wakil penduduk menunjukkan lokasi cadangan projek insinerator di Batu Arang pada Sabtu.
Wakil penduduk menunjukkan lokasi cadangan projek insinerator di Batu Arang pada Sabtu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Abdullah.

Katanya, petisyen bantahan sedang dikumpulkan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan loji tersebut tidak selari dengan Rancangan Kawasan Khas Bandar Batu Arang 2030 iaitu kawasan itu perlu ditonjolkan sebagai Bandar Warisan yang terdapat banyak bangunan warisan terdapat di kawasan itu.

"Kami mohon diadakan sesi dialog bersama menteri besar untuk membincangkan isu yang membimbangkan penduduk ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata, isu itu akan dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka bersidang pada September depan.

“Saya akan membawa isu ini dalam sidang DUN Selangor dan mengajak rakan ADUN lain untuk sama-sama membantah projek ini.

"Saya mohon jawatankuasa penduduk dapat menyiapkan dokumen bantahan rasmi sebelum sidang DUN itu bermula dan saya akan menanggung semua kos tersebut," katanya.