PRN Melaka: Anwar mohon anggota ATM, PDRM beri kepercayaan kepada calon PH

KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 esok memberi kepercayaan kepada calon gabungan itu.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, beliau berkata, amanah yang diberikan akan digalas dengan iltizam dan tekad untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Melaka.
"Esok, rakan-rakan serta keluarga dari ATM dan PDRM akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Melaka... dengan rendah hati, saya memohon kepercayaan saudara dan saudari untuk mengundi calon Harapan.
"Undi saudara dan saudari akan menentukan sama ada Melaka dipimpin oleh mereka yang teguh mempertahankan amanah rakyat atau mereka yang sanggup menutup mata apabila amanah itu dikhianati... kepada ALLAH SWT kita berserah,” katanya.
Sebanyak 12,531 pengundi awal terdiri daripada 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis yang layak mengundi pada PRN Melaka kali ini akan melaksanakan tanggungjawab mereka di 31 pusat yang diwartakan di seluruh negeri esok.
Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN Melaka kali ini, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 14 November ini.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/pm/melaka/2026/. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
