Guna logo, tema Hari Kebangsaan berbeza mampu jejas perpaduan - Aaron

Aaron
Aaron
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebarang cadangan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, merupakan salah satu daripada defisit sosial yang dikenal pasti mampu menjejaskan perpaduan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Aaron berkata, cadangan seumpama itu turut membantutkan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terjamin.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari, yang dilaporkan berkata empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza, untuk memperingatinya di peringkat negeri.

"Ia berkait rapat tentang semangat kerjasama, toleransi dan hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, yang perlu ditangani secara berhemah.

"Seharusnya pemimpin di setiap peringkat hendaklah memainkan peranan penting sebagai pemangkin perpaduan, termasuklah tadbir urus di peringkat Persekutuan dan negeri melalui aspek sempadan politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

Media melaporkan Ahmad Fadhli berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN semalam, iaitu ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum ini mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Aaron berkata, tema HKHM 2023 yang dilancarkan pada 27 Mei lepas itu membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setiap rakyat di negara ini sedia maklum bahawa, sambutan yang diadakan saban tahun itu diraikan dengan semangat patriotisme dan cinta kepada negara, bagi mengenang jasa pejuang kemerdekaan terdahulu, yang telah bersusah payah memastikan Malaysia terus bebas merdeka dari cengkaman penjajah.

"Sambutan Hari Kebangsaan merupakan suatu perayaan bersifat nasional. Logo dan tema yang ditetapkan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Aaron turut mengajak semua pihak untuk saling membantu dalam meningkatkan tahap kesepaduan nasional dan berganding bahu, memastikan usaha tersebut dapat dicapai dengan dengan kadar optimum, kerana perpaduan yang utuh menjadi tunjang kepada pembinaan Malaysia yang maju, sejahtera serta makmur.

"Usahlah kita menjadi pencetus kepada perpecahan atau ketidaksefahaman dalam kalangan rakyat. Ia bukan soal untuk mencari siapa yang lebih dan siapa yang kurang, siapa yang baik dan siapa yang buruk, tetapi ia lebih bersifat saling menguatkan bersama tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Tema Hari Kebangsaan berbeza bersifat politik - Adam Adli

Perlis cuma tolak logo, tiada masalah ikut tema Hari Kebangsaan

Siasat Ketua Pemuda PN lancar logo, tema Hari Kebangsaan berbeza - Amanah

Jangan politikkan tema, logo Hari Kebangsaan - Ahmad Zahid

Tema Hari Kebangsaan ajak rakyat kukuhkan perpaduan, bersatu hadapi cabaran

Hari Kebangsaan: Cadang guna tema, logo berbeza khianati prinsip federalisme

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan - Fahmi

Guna logo, tema berbeza bawa perpecahan lebih besar - Ahmad Maslan

AMK gesa Pemuda PN batal hasrat guna logo, tema berbeza