Koperal polis mengaku tidak bersalah terima suapan RM1,000

Ahmad Amin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu atas empat pertuduhan menerima suapan RM1,000 enam tahun lalu.
Ahmad Amin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu atas empat pertuduhan menerima suapan RM1,000 enam tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas empat pertuduhan menerima suapan RM1,000.

Tertuduh, Ahmad Amin Mohd Komar, 39, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Datuk Ahmad Mohzani Mohd Zain.

Bapa kepada empat anak itu didakwa dengan empat pertuduhan menerima rasuah daripada seorang lelaki melalui pindahan wang dalam talian ke akaun bank milik isterinya enam tahun lalu.

Ahmad Amin bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis daerah Pekan didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB bank Cawangan Pekan antara Oktober 2017 hingga Mac 2018.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menerima RM200 melalui pindahan wang secara dalam talian pada 3 Oktober 2017 dan RM200 lagi pada 23 Disember 2017.

Untuk pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa menerima RM200 pada 26 Januari 2018 dan RM400 pada 2 Mac 2018, juga secara pindahan wang dalam talian.

Pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam bela, Melissa Sukri yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan sebanyak RM5,000 atas alasan masih menyara isteri dan empat anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diikat jamin RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh diarahkan supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat bermula bulan ini sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 September depan sebagai sebutan semula kes.