[VIDEO] Amang seksual: Pengasas pusat tahfiz mengaku tidak bersalah

Pengasas sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lepas. - Gambar hiasan
Pengasas sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Pengasas sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lepas.

Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, yang merupakan warganegara Singapura dituduh dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.

Beliau didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya, masing-masing berusia 13 tahun 9 bulan, 14 dan 15 tahun di dalam bilik di rumah guru Pusat Tahfiz Al-Islah Tanjung Minyak pada 20 Julai 2022 serta Mac 2023

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa sama, di lokasi sama pada Mac 2023.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

Peguam Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung dua isteri dan enam anak berusia 1 tahun setengah hingga 13 tahun.

Hakim Darmafikri pada penghakimannya membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi dua pertuduhan di hadapannya, namun Mohd Sabri tidak membenarkan jaminan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau tidak membenarkan jaminan bagi kesalahan amang seksual selepas bersetuju dengan bantahan Muhammad Nazrin bahawa tertuduh pernah didakwa atas kesalahan sama pada 2019 namun masih mengulangi kesalahan sama selepas dilepas tanpa dibebaskan.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama