Sikap 'abang besar' punca PH-BN kalah di Terengganu - Raja Bahrin

Raja Bahrin
Raja Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad meluahkan rasa kecewa apabila gabungan PH-Barisan Nasional (BN) gagal memenangi sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN).

Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan keputusan tersebut susulan sikap 'abang besar' dipamerkan BN berhubung proses agihan kerusi melibatkan sesama rakan gabungan parti di beberapa DUN di negeri itu.

Menurutnya, kesilapan besar tersebut menyebabkan gabungan berkenaan hilang peluang memenangi kerusi di kawasan yang mana PH dilihat mempunyai kelebihan dan berpotensi.

"Banyak pihak bertanya kenapa keputusan sangat mengecewakan bagi gabungan BN-PH di PRN Terengganu sehingga tidak memenangi satu kerusi pun.

"Walaupun kita akui Terengganu negeri Pas paling kuat tetapi tidak mustahil kita boleh memenangi beberapa kerusi jika strateginya betul dengan perancangan baik.

"Dengan mencapai strategi yang baik perlu diketepikan sikap dominasi abang besar selain bersikap terbuka menerima kelebihan tertentu rakan yang dianggap agak baharu atau tidak begitu besar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

PRN Terengganu dan PRK Kuala Terengganu yang berlangsung pada Sabtu mencipta sejarah selepas semua calon PN memenangi kesemua 32 kerusi DUN yang ditandingi termasuk satu kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, BN perlu mengakui kelebihan tertentu rakan gabungan dalam menghadapi pengundi di kawasan bandar serta pengundi campuran.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kelebihan PH adalah di kawasan pengundi urban - bandar yang juga memiliki pengundi campuran.

"Prinsip konsep ini telah dipersetujui pada umumnya di peringkat awal tetapi malangnya tidak dilaksanakan dan kerusi campuran seperti DUN Bandar (Kuala Terengganu) dan Cukai (Kemaman) yang mempunyai pengundi urban dan campuran tidak diberi kepada parti komponen PH seperti Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini adalah kesilapan yang besar dan kita telah hilang peluang memenangi kerusi seperti ini di mana PH mempunyai kelebihan," ujarnya.

Dalam pada itu, Raja Bahrin memberi contoh paling relevan seperti kerusi bandar dan campuran DUN Kota Lama di Kelantan yang mana calon PH dari Amanah telah berjaya memenangi kerusi tersebut di negeri yang didominasi Pas lebih 30 tahun.

Katanya, walaupun Dr Hafidzah Mustakim bukan orang Kelantan, namun menerusi strategi yang baik membolehkan PH memenangi kerusi di Kota Bharu.

"Kalau perkara sama dilakukan di Kuala Terengganu, tidak mustahil kejayaan yang sama boleh dicapai.

"Zaman sikap abang besar telah lama berlalu dan mentaliti ini perlu dikikis jika kita mahu maju.

"Sikap lebih inklusif menghormati sesama kita dan bukan sikap abang besar perlu diwujudkan dalam gabungan BN-PH di negeri ini," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Pertama kali dalam sejarah, Terengganu tiada pembangkang

PN sapu bersih 32 kerusi DUN, satu Parlimen di Terengganu

PRN Terengganu: Ahmad Said, Ahmad Razif tumbang

PRN: Terengganu catat peratusan keluar mengundi tertinggi