Kemenangan Ahmad Amzad di Parlimen Kuala Terengganu dibatal

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini pada Selasa menerima petisyen yang difailkan calon BN bagi membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan responden membayar RM50,000 kepada pempetisyen selain membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen.

Terdahulu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen pada 3 Januari lalu melalui calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu.

Tindakan itu didakwa dilakukan melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa yang diberikan beberapa hari sebelum PRU15.

Pada pilihan raya itu, Ahmad Amzad memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.