PRN: Pertama kali dalam sejarah, Terengganu tiada pembangkang

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) bersama kepimpinan Pas dan calon semasa hadir pada pengumuman keputusan PRN di Dewan Tok Guru, Rusila pada malam, Sabtu. - Foto Bernama
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah) bersama kepimpinan Pas dan calon semasa hadir pada pengumuman keputusan PRN di Dewan Tok Guru, Rusila pada malam, Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Buat pertama kali dalam sejarah politik baharu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya menyapu bersih 32 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu.

Perkembangan itu pastinya membuka lembaran baharu dalam politik negeri itu apabila fungsi pembangkang sebagai semak dan imbang kepada kerajaan tidak berlaku dalam tempoh penggal ini.

Keputusan PRN Terengganu menyaksikan PN yang bertanding menggunakan logo Pas bukan sahaja menang di semua kerusi ditandingi, malah turut merekodkan kemenangan dengan majoriti lebih tinggi.

Pas Terengganu sebelum ini menyatakan keyakinan tinggi untuk menyapu bersih semua kerusi DUN pada pilihan raya kali ini.

Ketika tsunami politik melanda negara termasuk Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 10 kerusi.

Antara 10 kerusi yang dimenangi itu adalah DUN Kijal, Seberang Takir, Langkap, Kuala Besut, Hulu Besut, Telemung, Batu Rakit, Bukit Besi, Permaisuri dan Jertih.

Keputusan kali ini juga menyaksikan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman tewas kepada lawan masing-masing.

Ahmad tewas kepada Datuk Razali Idris dengan majoriti 3,758 undi selepas memperoleh 9,645 undi berbanding Razali yang menang besar dengan 13,403 undi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Razif pula tewas kepada pencabarnya, Khazan Che Mat dalam pertembungan satu lawan satu di DUN Seberang Takir.

Khazan menewaskan Ahmad Razif menerusi majoriti selesa iaitu 2,797.

Ahmad Razif yang menyandang kerusi itu sejak 2008 tewas selepas memperoleh 9,359 undi berbanding Khazan yang memperoleh 12,156 undi.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!