Mahkamah tangguh jatuh hukum pengasuh taska cuai

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, menangguhkan ketetapan fakta dan hukuman terhadap seorang pengasuh taska atas dua pertuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, Mac lalu ke tarikh 15 Ogos ini.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim sepatutnya menjatuhkan hukuman kepada Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman, 28, namun prosiding terpaksa ditangguhkan kerana hakim sedang dirawat di hospital.

Peguam tertuduh Syufri A Samad yang ditemui di luar mahkamah mengesahkan perkara berkenaan.

Sebelum itu, tertuduh yang mengenakan baju kurung tiba bersama ahli keluarganya pada jam 8.30 pagi di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Pada 21 Mei lalu, Nurul Shahira mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu ketika prosiding pendakwaan kes di hadapan hakim terbabit.

Berdasarkan dua pertuduhan itu, wanita yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan, didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini di sini, kira-kira jam 1 tengah hari Mac lalu.

Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah ketika itu, membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.

Sebelum itu, pada Mei lalu tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Tindakan wanita itu mengundang kemarahan netizen selepas dilihat memukul bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.

Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.