Pengasuh didakwa cuai, boleh sebabkan dua bayi cedera

Nurul Shahira didakwa atas pertuduhan bertindak cuai yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi di Mahkamah Seksyen, Johor Bahru pada Ahad.
Nurul Shahira didakwa atas pertuduhan bertindak cuai yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi di Mahkamah Seksyen, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengasuh sebuah taska mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dua tuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, pada Mac lalu.

Nurul Shahira A'shiqin Sulaiman, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk fakta dan hukuman.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Mutiara Rini di sini pada jam 1 petang, Mac lalu.

Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha'ari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Syufri A Samad yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.

Beliau berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan mahu pun ketika ditahan polis.

"Tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, manakala suaminya yang bekerja kilang mempunyai gaji RM2,000 sebulan.

"Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.