cALLme applikasi e-hailing teksi

Anthony melancarkan aplikasi e-Hailing cALLme di KLIA hari ini. Mengiringi beliau Presiden Angkasa, Datuk Fattah Abdullah (kiri) dan Presiden Pentekma, Mohd Syahrir Abd Aziz. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Anthony melancarkan aplikasi e-Hailing cALLme di KLIA hari ini. Mengiringi beliau Presiden Angkasa, Datuk Fattah Abdullah (kiri) dan Presiden Pentekma, Mohd Syahrir Abd Aziz. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A
SEPANG - Perkhidmatan teksi akan lebih mesra pelanggan apabila mereka kini menawarkan perkhidmatan e-hailing, melalui platform aplikasi, cALLme.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan cALLme setaraf dengan aplikasi e-hailing antarabangsa dan ini memberi peluang kepada pemandu teksi untuk bersaing secara sihat.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah ia menawarkan perkhidmatan teksi yang lebih baik kepada pelanggan.

"Dengan pelancaran aplikasi ini, maka pada hari ini kita boleh mulakan satu bab baru untuk pemandu teksi di negara ini," katanya.

Anthony berkata, pembangunan cALLme ini akan dapat membantu pemandu teksi mendapatkan lebih ramai pelanggan.

"Kerana pelanggan sudah tentu mereka mahukan perkhidmatan yang bukan sahaja selesa tetapi dari segi harga tambang ia terjamin.

"Dengan menggunakan aplikasi ini, sebelum tempahan dibuat mereka sudah tahu tambang yang akan dikenakan dan tidak akan ada lagi timbul isu pelanggan teksi dikenakan charge tambahan dan sebagainya.

"Itu salah satu sebab mengapa hari ini ramai yang memilih e-hailing," katanya.

Anthony memberitahu, cALLme mula beroperasi hari ini di KLIA dan akan diperluas ke KLIA2 serta bandar-bandar utama seluruh negara .
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi cALLme di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Hadir sama Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/ Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, cALLme dibangunkan oleh Angkasa dengan kerjasama Koperasi Pemandu dan Pengusaha Teksi Limosin dan Kereta Sewa Selangor Berhad.

"Terdapat 30 koperasi teksi terlibat dalam pengangkutan awam dan perkhidmatan teksi.

"Projek ini dibangunkan bagi membantu koperasi dan pengusaha teksi seluruh negara yang menghadapi saingan daripada syarikat antarabangsa yang bermodal besar.

"Difahamkan, pendapatan pemandu teksi terjejas teruk adalah disebabkan persaingan itu," katanya.

Abdul Fattah berkata, penggunaan teknologi moden dalam industri teksi dan kereta sewa adalah selaras dengan perkembangan semasa.

"Pengusaha dan koperasi teksi kecil dan sederhana perlu bergabung serta mengguna pakai aplikasi teknologi moden bagi menaik taraf perkhidmatan teksi mereka.

"Pengguna yang sibuk hari ini memerlukan perkhidmatan yang cepat di hujung jari dan boleh dicapai melalui telefon pintar sahaja.

"Pemandu dan pengusaha teksi perlu berani mengubah cara bekerja daripada kaedah tradisional kepada penggunaan teknologi moden," katanya.

Abdul Fattah memberitahu, selain membangun aplikasi, Angkasa juga akan menyediakan latihan kepada pemandu dan pengusaha teksi supaya mereka mendapat manfaat dari teknologi baru ini.

"Perkhidmatan cALLme menawarkan perkhidmatan mengikut bajet dan keperluan pengguna.

"Sekiranya melibatkan kumpulan yang ramai atau keluarga, pengguna boleh memilih cALLme cab Family. Bagi yang memerlukan kenderaan bajet, boleh menempah teksi bajet begitu juga bagi yang ingin kenderaan mewah segalanya ditawarkan melalui cALLme.

"Satu lagi kelebihan pelanggan boleh membuat pembayaran tambang samaada tunai atau kad kredit," katanya.

cALLme kini telah digunakan oleh 1,600 pemandu teksi di KLIA dan akan diperluas kepada 600 lagi teksi di KLIA 2 dalam masa terdekat.