Tun M dakwa halang bincang 3R menidakkan kebebasan bersuara

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan menghalang perbincangan melibatkan isu 3R (agama, raja dan kaum) disifatkan sebagai menidakkan kebebasan bersuara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika hendak dijadikan sebagai jenayah, ia perlu perbahasan dan kelulusan oleh Dewan Rakyat, Dewan Negara serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong atau diluluskan selepas dua bulan.

“Jika ini tidak dilakukan, kerajaan mungkin didakwa kerana melakukan sesuatu yang tidak mengikut undang-undang negara,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Selasa.

Sebelum ini, tular video ucapan Muhammad Sanusi di aplikasi TikTok yang didakwa memperlekeh kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana melantik Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, selain Muhammad Sanusi, polis turut menyiasat Dr Mahathir; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membabitkan kes 3R.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan tindakan yang menghalang perbincangan menyentuh bangsa tertentu.

“Jika perbincangan berkenaan orang Melayu ditafsir sebagai menyentuh ‘race’ atau bangsa atau kaum, perbincangan berkenaan ‘multiracial’ (pelbagai kaum) juga menyentuh ‘race’.

“Kenapakah berbilang bangsa atau kaum boleh disentuh tetapi satu bangsa (Melayu) tidak boleh disentuh,” ujarnya.

Sementara itu, beliau juga mengulas soal perbincangan yang menyentuh isu keagamaan serta fahaman sekularisme.

“Sekularisme bermakna tidak boleh ada agama rasmi. Ini bermakna kita bercakap berkenaan agama rasmi.

“Kenapa menolak agama rasmi boleh disentuh tetapi mengekal agama rasmi tidak boleh disentuh?" soalnya.

Tambahnya, soal institusi raja juga perlu diambil serius kerana raja turut tertakluk kepada undang-undang.

“Sebuah mahkamah diadakan untuk raja. Bermakna jika raja melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang tindakan boleh diambil. Perundangan ini diadakan kerana kes tertentu,” jelasnya.