Taska didakwa dera lima kanak-kanak diarah tutup

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Sebuah taska yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak hingga mendatangkan kecederaan fizikal telah diarah tutup sementara.

Arahan itu dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibawah Seksyen 16 subseksyen (1)(a)/(b) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Akta 308).

Pengarah JKM negeri, Nor Tipah Majin berkata, notis penutupan telah diserahkan pada Khamis berkuat kuasa serta-merta sehingga pengurusan taska mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

"Siasatan JKM telah dibuat berhubung pelanggaran peruntukan ditetapan. Susulan itu, taska berkenaan diarahkan tutup sementara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, tindakan lanjut akan diambil tertakluk kepada hasil siasatan polis dan keputusan mahkamah.

"JKM akan memastikan pemantauan berkala sentiasa dilaksanakan ke atas kualiti perkhidmatan.

"Pada masa sama, semua pengusaha dan penyelia yang mengambil bahagian dalam pengoperasian sesebuah taska perlu mematuhi peruntukan undang-undang ditetapkan," katanya.

Media pada Isnin lalu melaporkan, tiga wanita termasuk guru ditahan bagi membantu siasatan kes dera lima kanak-kanak dalam kejadian di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2 di sini.

Tangkapan terhadap kesemua suspek itu dibuat susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada Khamis minggu lalu.

Pendakwaan ke atas ketiga-tiga wanita itu dibuat di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas kesalahan mengabaikan dan menganiaya empat kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki berusia lingkungan dua tahun di bawah jagaan mereka.

Perbuatan dilakukan termasuklah dengan merentap rambut, menampar pipi, menekan kepala ke bantal, memukul belakang badan dan mencubit pipi mangsa.