[VIDEO] Guru, pembantu taska didakwa aniaya lima kanak-kanak

A
A
A

IPOH - Seorang guru dan pembantu taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini atas tuduhan menganiaya lima orang kanak-kanak berusia dua tahun di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2, Chemor dekat sini minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Wan Suhaila Mior Khir, 32, Noor Shafina Abdul Khair, 26, masing-masing berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan perbuatan termasuk menampar pipi, menarik badan, menekan kepala ke bantal, merentap rambut dan mencubit pipi mangsa melibatkan empat kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 4 dan 6 Julai 2023 di Taska Nur Raihan, Taman Meru Perdana 2, Chemor di sini.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan menganiaya lima orang kanak-kanak berusia dua tahun di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2, Chemor minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan menganiaya lima orang kanak-kanak berusia dua tahun di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2, Chemor minggu lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-keduanya sekali.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menawarkan jaminan berjumlah RM7,000 kepada Noor Shafina manakala Wan Suhaila dibenar diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah dan Evangelin Simon Silvaraj manakala Wan Suhaila diwakili Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek dan Noor Shafina pula diwakili peguam Mohammad Syarifuddin Zaid.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, pemilik taska berkenaan, Rozidah Yahaya, 51, turut didakwa mengabaikan seorang kanak-kanak berusia dua tahun.

Rozidah mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh.
Rozidah mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Tertuduh, bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang pada masa itu mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang berpatutan sehingga menyebabkan mangsa cedera di lengan kiri.

Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya K Darinee meminta jaminan RM12,000 dikenakan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhd Alif Afandi meminta jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak polis selain tiada kemungkinan untuk mengganggu mangsa kerana taska berkenaan ditutup sementara.

Hakim Azizah Ahmad kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.