PRN: BN, PH disaran tubuh penguat kuasa pantau aktiviti calon

Tengku Haphiz (tengah) ketika sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Pemuda Perpaduan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Khamis.
Tengku Haphiz (tengah) ketika sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Pemuda Perpaduan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu menubuhkan pasukan penguat kuasa bagi memantau aktiviti calon sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) di Terengganu.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelak adanya unsur-unsur politik wang untuk meraih undi seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kita kesal dengan sikap dan cara Pas termasuk kepimpinan mereka dalam menggerakkan jentera pilihan raya pada PRU15 sehingga pihak mahkamah menerima petisyen Parlimen Kuala Terengganu untuk membatalkan kemenangan Pas atas asas berlakunya rasuah, sogokan politik untuk membeli undi.

"Justeru kita berharap di peringkat BN dan PH perlu menyediakan seramai mungkin penguat kuasa pilihan raya di peringkat parti-parti untuk pastikan perkara ini tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pemuda Perpaduan Negeri Terengganu pada Khamis.

Tengku Haphiz memberitahu, pihaknya bimbang sekiranya kurang pemantauan aktiviti sedemikian akan mempengaruhi pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun terutama individu kali pertama mengundi.

"Kita bimbang terhadap anak-anak muda terutamanya pengundi kali pertama mengundi, mereka ini kurang memahami soal bagaimana pelaksanaan pilihan raya itu berlaku.

"Bila Pas dan PN memulakan caranya kepada mereka ini dengan sogokan duit untuk membeli undi maka difikiran anak-anak muda ini bila datang pilihan raya seolah-olah 'hari raya'.

"Jadi kalau hari raya akan ada sampul duit raya, jadi bila berlaku perkara ini, ia akan menyebabkan salah faham dalam soal sistem pemilihan dalam pilihan raya kita," ujarnya.

Jelas Tengku Haphiz, pelaksanaan penguat kuasaan boleh dilakukan melalui lantikan ejen di peringkat parti masing-masing.

"Perkara ini perlu ditekankan dan diuar-uarkan kerana apa yang telah berlaku sebelum ini menjejaskan kreadibiliti Pas terutamanya untuk mengetuai kerajaan negeri pada penggal akan datang.

"Anak-anak muda juga perlu menolak parti-parti yang melaksanakan tata kelola yang tidak baik ini," kata beliau.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.